HALAMAN

Monday, April 12, 2010

MENJAWAB ANAK KENYALANG BAHAGIAN 4

Berkenaan dengan talqin maka menurut pendapat kebanyakan(bukan segelintir) ulama-ulama Syafiiah yang terkemuka bahawa di sunnatkan talkin ke atas jenazah sesudah dikebumikan.Imam Al Ghazali misalnya menulis di dalam Ihya “dan dari kerana inilah disunnatkan talkin ke atas mayat selepas pengkebumian dan juga sunnat mendoakan baginya”Beliau turut menyebutkan juga hadis Abu Umamah Al Bahili yang disebutkan di dalamnya kaifiat dan fadilat talkin.(Ihya Ulumuddin,sub kitab zikrul maut wama ba’dahu,Dar Al kutub Al Ilmiah,halaman 428).Tersebut juga di dalam kitab Iqna’ Hasyiah Bujairimi juzuk 2 halaman 258 yang berbunyi maksudnya, “Sunnat ditalkinkan mayat yang mukallaf selepas ditanam kerana ada hadis yang menunjukkan demikian itu:Berkata Imam Al Nawawi di dalam Al Raudhah:Hadis itu sekalipun daif tetapi jadi kuat kerana disokong oleh hadis-hadis yang sahih”.Demikianlah menurut pendapat Imam Al Nawawi seperti yang disebut di dalam Iqna’.Hadis-hadis yang menyokong hadis Abu Umamah yang tersebut yang dimaksudkan oleh Imam Nawawi itu ialah hadis tentang wasiat Amru bin Al Ash seperti yang terdapat di dalam sahih Muslim.Tersebut di dalam Baghiyat Al Tullab karangan Al Syeikh Daud bin Abdullah Al Fatani pula adalah seperti berikut, “dan sunnat kemudian daripada selesai menanam dia membaca talkin jika ada ia aqil baligh atau ada ia gila kemudian daripada aqil baligh dan jika ada mayat itu syahid sekalipun.Maka tiada sunnat mentalkinkan jika kanak-kanak atau gila dahulu daripada baligh.Inilah yang sunnat talkin kepada orang yang syahid ma’rakah sunnat talkin yang dii’timadkan(dimuktamadkan) oleh Syeikh Ibnu Hajar.Adapun yang dii’timad oleh Syeikh Ramli tiada sunnat talkin akan orang yang mati syahid ma’rakah…….dan disebut pada Hasyiah Sanusi dan sunnat talkin pada kanak-kanak.Kata mereka itu difitnahkan dia(disoal di dalam kubur) dan ditanya akan dia mithaq(perjanjian) yang ia ikrar dengan dia pada sulbi Adam dan menetapkan jawabnya Allah Taala dan mengambil dalil mereka itu adalah nabi mengajar talkin akan anaknya Sayidina Ibrahim”(Rujuk Baghiat Al Tullab juzuk 2 halaman 28).
Berdasarkan kepada keterangan di atas maka nyatalah dakwaan Anak Kenyalang bahawa amalan talkin merupakan amalan bid’ah dan tidak berdasarkan kepada dalil yang sahih adalah dakwaan yang tidak berasas berdasarkan kepada sebab-sebab berikut:
i) Hadis Abu Umamah Al Bahili sekali pun daif tetapi telah dikuatkan oleh hadis yang sahih seperti yang masyhur di dalam wasiat Amru bin Al Ash.Di dalam hal ini menurut peraturan hadis mana-mana hadis daif jika disokong oleh hadis sahih,maka ia menjadi naik tarafnya kepada hadis hasan iaitu hadis hasan li ghairihi dan hadis hasan adalah hujah dalam mensabitkan hukum.
ii) Ada berbagai kemungkinan mengapa Imam Al Syafii tidak menyebutkan tentang talkin di dalam kitab-kitab beliau dan yang demikian adalah tidak menjadi dalil bahawa talkin itu tidak ada.Ini adalah perkara biasa bagi mana-mana ulama yang bersifat warak dan berhati-hati seperti mana lazimnya yang dilakukan oleh sebahagian ulama hadis seperti Bukhari dan Muslim yang meninggalkan banyak hadis-hadis yang sahih yang tidak dimuatkan di dalam kitab-kitab mereka sehingga banyak daripada hadis-hadis tersebut hanyalah kemudiannya disahihkan oleh ulama-ulama yang kemudian yang datang sesudah mereka.Sebab itulah kita biasa mendengar wujud hadis-hadis sahih atas syarat Bukhari dan Muslim tetapi keduanya tidak mengeluarkannya.Selain daripada itu perlu diingat, bahawa ulama yang menjadi ikutan kita bukannya Imam Al Syafii seorang dan lagi talkin itu sungguh pun hukumnya sunnat ianya bukanlah dari amalan yang diberatkan sehingga ke taraf wajib sehingga sangat perlu bagi Imam Al Syafii untuk bercakap tentangnya pada hak beliau secara peribadi.Lebih-lebih lagi selepas kewafatan Imam Al Syafii, muncul berpuluh-puluh ulama dalam lingkungan mazhabnya yang walaupun mereka mungkin tidak setanding beliau namun memadai untuk dijadikan rujukan berkenaan dengan hukum-hakam malahan sesetengahnya telah mencapai darjat mujtahid mutlak seperti halnya Imam Nawawi ,Syeikh Ibnu Hajar dan lain-lain di mana mereka telah melengkapkan beberapa hukum dalam mazhab Syafii yang ditinggalkan atas sebab-sebab yang tertentu.
iii) Imam Nawawi seperti yang didakwa hanya mendaifkan hadis yang tertentu sahaja tentang talkin dan beliau tidak sesekali mendaifkan hukum dan amalan bertalkin.Ini terbukti dengan kenyataannya bahawa hadis tentang talkin telah dikuatkan dan disokong oleh hadis lain yang sahih dan pendapat beliau itu dapat dilihat di dalam Iqna Hasyiah Bujairimi dan di dalam Raudhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

MENJAWAB ANAK KENYALANG BAHAGIAN 5

No comments:

Post a Comment