HALAMAN

Monday, December 12, 2011

MENGINGATI MATI

Diriwayatkan oleh Imam Nasaai dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah RadhiaLlahu ‘anhu katanya bersabda RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam “Perbanyakkanlah mengingati perkara yang dapat memusnahkan segala kelazatan” Dan di dalam riwayat Ibnu Abi Dunya daripada Anas “Perbanyakkanlah kamu sekelian mengingati mati kerana sesungguhnya ia menghapus dosa dan menyebabkan zuhud dari dunia.Jika kalian mengingatinya semasa kaya nescaya ia akan merobohkannya dan sekiranya kalian mengingatinya sewaktu miskin ia kan menyebabkan kalian redha dengan kehidupan”

Di dalam riwayat yang lain daripada Ibnu Abi Dunya daripada Sayidina Anas radhiaLlahu ‘anhu RasuluLlah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda “Perbanyakkanlah kalian mengingati kematian kerana ianya dapat menghapus dosa dan menjadikan kalian zuhud daripada dunia.Jika kalian mengingatinya sewaktu kaya nescaya ia akan merobohkannya dan jika kalian mengingatinya sewaktu papa ianya akan menjadikan kalian redha dengan kehidupan kalian”

Diriwayatkan daripada Ibnu Majah bahawasanya ada seorang lelaki dari kaum Ansar telah bertanya kepada Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam “Ya Rasulullah!Siapakah mukmin yang paling afdhal?” RasuluLlah saLLahu ‘alahi wasallam bersabda “Yang paling baik akhlaknya” Lelaki itu berkata “Siapakah mukmin yang paling kaya?” Jawab RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihiwasallam “Yang paling banyak mengingati mati dan yang paling baik persediaannya untuk mati mereka itulah orang-orang yang cerdik

Diriwayatkan oleh Imam Al Tabarani daripada Ammar RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam bersabda “Cukuplah kematian itu sebagai ingatan” Ditanya orang “Ya RasuluLlah! Dapatkah seseorang itu dikumpulkan bersama para syuhada?” RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam menjawab “Ya , iaitu orang yang mengingati mati sebanyak dua puluh lima kali sehari semalam”

Firman Allah subhanahu wataala:

لَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ

Ertinya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya (Al-Mulk 67:2)

Kata Assuddi ertinya siapa yang paling banyak mengingati mati.Setengah ulama mengatakan barangsiapa yang banyak mengingati mati akan dimuliakan dengan tiga perkara:

1)Segera bertaubat

2)Hatinya mencukupi dengan apa yang ada.

3)Rajin mengerjakan ibadat

Barangsiapa yang melupakan kematian disiksa dengan tiga perkara:

1)Melupakan taubat

2)Tidak memadai dengan apa yang ada

3)Malas mengerjakan ibadat.

Mengingati mati itu menyebabkan terkejutnya hati menuntut (persediaan) keluar dari negeri yang fana dan bersiap-siap pada tiap-tiap waktu untuk pergi ke negeri yang baqa’.Menurut para ulama,manusia di dalam dunia ini tidak lari daripada dua keadaan samada senang atau susah.Maka dengan mengingati mati jadi ringan bagi mereka tiap-tiap daripada dua keadaan itu sehingga sabar ketika ditimpa kesusahan dan tidak lupa daratan ketika mendapat kesenangan.Menurut para ulama dengan mengingati mati, akan menyedikitkan cita-cita dan mendorong kepada membuat persediaan untuk mati kerana mati itu tiada baginya waktu yang maklum,penyakit yang maklum dan tempat yang maklum.Kerana itu membuat persiapan bagi mati adalah amalan yang utama dan orang yang melakukankannya itulah orang yang berakal dan kesudahannya mendapat kepujian.

Zaid Al Raqasyi rhm pernah berkata kepada dirinya sendiri “Sayang sekali engkau wahai nafsu!Siapakah nanti akan bersembahyang menggantikan engkau selepas mati?Dan siapakah yang akan berpuasa untuk mu?…”Kepada orang ramai dia berkata “Wahai manusia!Tidakkah kalian menangis dan menyimpan bekal untuk saki-baki umur kalian?Sesungguhnya sesiapa yang mati itu adalah janjinya,dan kubur itu adalah rumahnya dan tanah itu adalah hamparannya dan ulat itu temannya dan takut dengan terkejut yang sangat besar,bagaiman dia dapat tidur dengan aman?” Lalu ia pun menangis sehingga pengsan!

Adalah Sufian Al Tsauri ketika ia mengingati mati dia tidak akan mengajar selama beberapa hari,tidak makan dan tidak minum.Ketika ditanyakan ia berkata “Aku tidak tahu”

Adalah Ali ibnu al Thufail ibnu ‘Iyadh ketika mengingati mati seakan bercerai-cerai segala sendi-sendinya.Dan adalah Yusuf ibnu Asbath rhm apabila mengiringi jenazah seakan-akan hampir mati sehingga terpaksa diusung ke rumahnya.Umar bin Abdul Aziz suatu hari bermuzakarah dengan para ulama tentang mati ,hal ehwal hari kiamat dan kengerian hisab dan melintasi titian sirat.Semuanya menangis sampaikan salah seorang mereka ada yang meninggal dunia!

Demi Allah!Sesungguhnya bagi mati itu ada mabuknya.Minuman yang sangat pahit.Sangat sukar ditelan.Sangat memukul bagi hati.Tangisan bagi mata.Menceraikan segala jamaah.Melenyapkan segala kelazatan.Dan memutuskan segala cita-cita.Fikirkanlah pada hari matimu dan kamu berpindah daripada rumah dan mahligaimu keluar dari keluasan dunia ini kepada kesempitan kubur.Tatkala itu teman-temanmu akan mengkhianati kamu.Saudara mara dan mereka yang mengasihi akan melupai kamu.Pada ketika itu kamu akan dipindahkan dari dari hamparanmu yang indah-indah dan dari selimut kamu yang halus dan dihantarkan jasadmu di atas tanah yang keras.Kemudian mereka yang menghantarkan jenazahmu itu akan kembali ke rumah masing-masing makan,minum,tertawa dan mereka melakukan segala urusan mereka seolah-olah tidak kenal lagi kepadamu!

Seorang ahli zuhud pernah berkata “Wahai orang yang mengumpulkan harta!Wahai orang yang membina bangunan yang tinggi-tinggi!Tiadalah hartamu itu melainkan kafanmu.Yang lainnya itu akan hilang darimu.Dan kampungmu itu akan binasa.Adakah sekeliannya itu dapat menebus dirimu dari huru-hara?Tidak sekali-kali.Bahkan engkau tinggalkan sekeliannya itu untuk orang yang tidak memujimu dan kamu mendahulukan dosamu untuk mereka yang tidak menerima uzurmu” Kata yang lain “Lihatlah kepada orang yang memilikki kekayaan dunia sekeliannya adakah pergi bersamanya selain daripada kapas dan kain kafannya?”

Diriwayatkan oleh Tirmizi daripada Syaddad bin Aus RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Orang yang cerdik itu ialah orang yang menghinakan dirinya dan beramal untuk persediaan selepas mati dan orang yang lenah itu ialah orang yang mengikut hawa nafsunya kemudian dia berangan-angan atas Allah”Diriwayatkan oleh Abu Nuaim daripada Abu Hurairah katanya datang seorang lelaki menghadap RasuluLlah lalu berkata “Wahai RasuluLlah!Mengapakah aku dapati diriku tidak mencintai mati?” Lalu RasuluLlah sallaLlah alaihi wasallam bersabda “Adakah engkau memilikki harta?” Dia menjawab “Bahkan” Lalu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Dahulukanlah hartamu.Sesungguhnya hati seseorang itu adalah bersama hartanya.Jika ia mendahulukan hartanya hatinya akan cinta untuk mengikuti hartanya.Jika hartanya disimpan hatinya cinta pula untuk tinggal bersamanya”

Makruh hukumnya seseorang bercita-cita agar cepat mati dan berdoa supaya lekas mati dengan sebab bala yang menimpa harta , diri , anak dan isteri kerana termasuk di dalam larangan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Anas radhiaLlahu anhu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Janganlah seseorang itu mencita-citakan kematian dengan sebab sesuatu kemudharatan yang turun atas dirinya.Sekiranya tidak dapat tiada seseorang itu mencitakan kematian hendaklah dia berdoa :Wahai Tuhanku hidupkanlah aku jika hidup itu baik bagiku dan matikanlah aku jika mati itu baik bagiku”Di dalam hadis yang lain Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas RasuluLlah sallaLahu alaihi wasallam bersabda “Janganlah seseorang itu mencita-citakan kematian.Kalau dia seorang yang baik mudah-mudahan akan bertambah kebaikannya dan jika dia seorang yang jahat mudah-mudahan dia sempat bertobat dan meninggalkan dosanya ia mati”

Para ulama radhiaLlahu anhum mengatakan Allah Taala telah menjadikan kematian itu salah satu daripada sebesar-besar bala dan Allah sendiri telah menamakannya musibah di dalam Al Quran yaitu firman Allah:

……فَأَصَابَتْكُم مُّصِيبَةُ الْمَوْتِ ۚ….

Ertinya: ….lalu kamu ditimpa musibah maut……(Al-Maidah 5:106)

Ini ialah kerana kematian itu menukarkan seseorang itu daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan dan daripada satu negeri (dunia) kepada satu negeri (akhirat).Inilah musibah yang sangat besar.Lebih-lebih lagi manusia lalai daripadanya dan sedikit daripada mereka yang memikirkan tentangnya dan tidak beramal untuk menghadapinya.Para ulama telah ijmak bahawasanya mati itu adalah pengajaran bagi orang yang mengambil pengajaran dan fikir bagi orang yang mahu berfikir.Tersebut di dalam sebuah hadis “Kalaulah binatang itu mengetahui mengenai kematian seperti yang diketahui oleh manusia,nescaya kamu sekelian tidak akan dapat memakan seekor pun binatang yang gemuk” Diriwayatkan oleh Al Maruzi daripada Qasim Maula Muawiah sesungguhnya Saad bin Abi Waqash pernah mencita-citakan kematian lalu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Janganlah engkau mencita-citakan kematian.Jika engkau ditakdirkan menjadi ahli syurga maka panjang umur itu lebih baik bagimu.Tetapi jika engkau ditakdirkan menjadi ahli neraka maka apakah yang menyebabkan engkau hendak bersegera kepadanya?” Imam Tirmizi meriwayatkan adalah ketika mati salah seorang anak nabi Adam baginda telah berkata kepada Hawa “Wahi Hawa sesungguhnya telah mati anakmu” Sahut Hawa “Apakah mati itu?” Lalu Adam menjawab “Yaitu jadilah seseorang itu tidak makan, tidak minum , dan tidak berdiri tidak duduk” Lalu Hawa pun berteriak pada ketika itu juga.Lalu Adam berkata “Berteriaklah kamu dan segala anakmu yang perempuan.Adapun aku dan segala anakku yang lelaki berlepas diri daripadanya”

Adalah diceritakan Malakul Maut alaihissalam datang kepada Nabi Ibrahim alahissalam ketika baginda wafat untuk mengambil nyawa baginda.Nabi Ibrahim bersabda kepada Malaikat Maut itu “Adakah kekasih mengambil roh kekasihnya?” Kemudian naiklah Malaikat Maut itu kepada Tuhan lalu Tuhan berfirman “Adakah engkau lihat kekasih benci untuk bertemu kekasihnya?” Lalu kembali Malaikat Maut itu kepada Nabi Ibrahim dan baginda bersabda “Ambillah rohku sekarang”

Kadang-kadang harus seseorang itu bercita-cita untuk mati dan berdoa bagi yang demikian itu jika ditakuti daripada terkena fitnah (kejahatan) atas agamanya.Imam Malik meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah Nabi sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Tidak berlaku kiamat itu sehingga seorang lelaki melalui kubur seorang lelaki kemudian ia berkata:Alangkah baiknya jika aku berada di tempatnya.Imam Malik meriwayatkan daripada Bazzar daripada Tsauban RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda di dalam doa baginda:

أللهم إني أسئلك فعل الخيرات وترك المنكرات وحب المساكين وإذا أردت بالناس

فتنة فاقبضني إليك غير مفتون

Ertinya:Ya Allah!Daku pohonkan kepadaMu akan perbuatan-perbuatan yang baik , meninggalkan segala kemungkaran ,mencintai fakir miskin dan apabila Engkau menghendakki fitnah atas manusia maka ambillah rohku kepadaMu dalam keadaan yang tidak terkena fitnah.

Abu Nuaim meriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud Nabi sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Tidak akan keluar dajjal itu sehinggalah seseorang mukmin itu mencintai keluar rohnya daripada jasadnya melebihi segala yang lain” Abu Zarr radhiaLlahu anhu berkata “Akan datang satu zaman atas manusia bahawa seorang lelaki melalui jenazah lalu dia berkata :Alangkah baiknya kalau akulah yang berada di tempatnya” Ibnu Isa Al Ghifari ketika melihat satu kaum yang lari daripada wabak taun dia pun berkata “Wahai taun! Ambillah nyawaku” Kata-kata itu diulang-ulang sebanyak tiga kali.Katanya kepada orang yang mengikutinya “Adakah engkau mengetahui sabda RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam:Segerakanlah olehmu akan kematian itu jika engkau telah melihat enam perkara.Yang pertama apabila raja-raja terdiri daripada orang-orang bodoh.Kedua, apabila banyak orang mengambil cukai.Ketiga,apabila ada orang yang menjual hukum.Keempat,apabila manusia meringan-ringankan darah.Kelima,apabila ramai orang memutuskan silaturrahim.Keenam, Al Quran dijadikan serunai dibaca seolah-olah nyanyian sedangkan para fuqahanya sangat sedikit”

Kata Ibnu Saad, adalah Khalid bin Ma’dan berkata “Tiada seekor binatang pun samada di darat atau di laut aku sukai untuk dijadikan penebusku daripada mati.Dan kalaulah mati itu ada tanda tempat untuk dituju nescaya tidak seorang pun yang dapat mendahuluiku kepadanya melainkan seseorang yang benar-benar kuat.” Kemudian katanya “Kalaulah mati itu ada tempatnya yang ditentukan pastilah aku orang yang pertama yang sampai kepadanya”

Adalah diceritakan seorang lelaki telah mati dalam keadaan yang baik lalu berkatalah Abu Darda radhiaLlahu anhu “Kesenanganlah bagimu.Alangkah baiknya kalau aku menggantikan tempatmu” Ibu kepada si mati berkata “Mengapakah kamu berkata begitu?” Lalu dijawabnya “Wahai orang yang kurang berfikir!Sseorang itu berpagi-pagi di dalam keadaan beriman dan berpetang-petang di dalam keadaan munafik.Ditanggalkannya imannya di dalam keadaan dia tidak sedar.Itulah sebabnya daku lebih mencintai kematian daripada aku kekal hidup dalam keadaan sembahyang dan berpuasa”

WaLlahu a’lam bissawab-Allah jua yang terlebih mengetahui yang sebenarnya.

Sumber:Kasyful Ghummah Fi Ahwalil Mauta Fil Barzakh Wal Qiyamah oleh Syeikh Daud bin AbduLlah Al Fatani.

No comments:

Post a Comment