Monday, December 19, 2011

FADHILAT MAHABBAH (MENGASIHI ALLAH DAN SESAMA MAKHLUK)

Telah bersabda RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam:

إن الله يقول يوم القيامة أين متحابون بجلالي اليوم أظلهم في ظلي يوم لا ظل إلا ظلي

Ertinya:Sesungguhnya Allah berfirman:Di manakah orang-orang yang saling kasih mengasihi kerana kebesaranKu.Pada hari ini Aku akan menaungi mereka di hari yang tidak ada naungan melainkan naunganKu.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiaLlahu anhu daripada Nabi sallaLlahu alaihi wasallam sesungguhnya seorang lelaki menziarahi seorang lelaki lain yang tinggal di dalam sebuah kampung.Lalu Allah memerintahkan malaikat untuk mengintainya dalam perjalanan.Malaikat itu telah bertanya kepada lelaki itu “Ke manakah engkau hendak pergi?” Jawab lelaki itu “Aku hendak pergi menziarahi saudaraku di kampung ini” Malaikat itu berkata “Adakah engkau mempunyai apa-apa kepentingan?” Jawab lelaki itu “Tidak!Melainkan aku mengasihinya kerana Allah” Lalu malaikat itu berkata “Aku adalah utusan Allah kepadamu.Sesungguhnya Allah telah mengasihi engkau sebagaimana engkau mengasihi saudaramu” Muaz bin Jabal mengatakan aku dengar RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda sesungguhnya Allah telah berfirman “Wajib mendapat kasih sayangKu bagi dua orang yang berkasih sayang kerana Aku , duduk bersama kerana Aku dan saling ziarah- menziarahi kerana Aku” Di dalam suatu riwayat bahawa Allah telah berfirman “Orang-orang yang berkasih sayang demi kebesaran Ku akan mendapat mimbar-mimbar yang diperbuat daripada cahaya yang turut diidam-idamkan oleh para nabi dan orang-orang yang mati syahid”

Sepatutnyalah bagi tiap-tiap orang yang berakal untuk berusaha saling mengasihi kerana Allah supaya mendapat pangkat orang yang muqarrabin dan mendapat kurnia seperti yang telah dikurniakan kepada wali-wali Allah.Mereka semua telah meninggalkan dunia ini dan hanya sibuk dengan mengingati Allah.Kata Zun Nun Al Misri rahimaLlahu ta’ala “Wahai Tuhanku!Tidak baik dunia ini bagiku melainkan dengan mengingatiMu ,tiada baik akhirat itu melainkan rahmatMu dan tiada baik syurga itu melainkan dengan memandang wajahMu” Telah berkata Rabi’ah Al Adawiah “Hilanglah segala bintang dan telah tidurlah segala mata.Para raja telah mengunci pintu-pintu mereka.Tetapi pintu Engkau tetap terbuka.Wahai TuhanKu!Semua bahagianku di dunia ini Engkau berilah kepada sekelian orang-orang kafir.Semua bahagianku di syurga Engkau berikanlah kepada sekelian orang yang derhaka dari kalangan orang-orang yang beriman.Sesungguhnya aku tidak berkehendak kepada dunia dan akhirat melainkan memandang kepada wajahMu”

Dihikayatkan bahawasanya Nabi Ilyas alaihissalam suatu hari telah didatangi oleh malaikat maut untuk mengambil nyawanya.Baginda terkejut dengan amat sangat lalu menangis.Allah telah mewahyukan kepada malaikat maut “Tanyakanlah kepada hambaKu mengapakah dia terkejut dan menangis?Adakah atas dunia atau atas mati?”.Nabi Ilyas menjawab “Bukanlah terkejutku kerana dunia atau takut kepada mati.Tetapi aku aku takut luput dari zikruLlah kerana aku tidak dapat lagi berhimpun dalam majlis-majlis mengingati Allah” Lalu Allah mewahyukan kepada malaikat maut “Tinggalkanlah hambaKu itu.Ia mencintai hidup kerana hendak mengingatiKu.Oleh itu biarkanlah dia hidup untuk mengingatiKu dan dan biarkanlah dia bermain-bermain di dalam ‘Taman Munajat’ hingga akhir dunia ini” Itulah sebabnya dikatakan bahawa Nabi Khidhir dan Nabi Ilyas hidup hingga sekarang dan keduanya berjalan diseluruh dunia timur dan barat untuk mencari majlis-majlis zikir yang mengingati Allah.

Firma Allah Taala;

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu.(Ali Imran 3:31)

Adalah asal mahabbah(mencintai Allah ) itu ialah dengan mengikuti rasulNya dan jikalau tidak mengikuti RasulNya maka adalah mahabbahnya itu dusta.Telah kasih Khadijah akan RasuluLlah lalau memperoleh makrifat.Zulaikhah mengasihi Yusuf lalu memperoleh petunjuk.Balqis mengasihi Sulaiman lalu mendapat Islam.Abu Bakar mengasihi RasuluLlah lalu mendapat pangkat siddiq.Adalah nabi Musa alaihissalam suatu hari berkata “Akulah orang yang dagang!Akulah orang yang fakir!Akulah orang yang sakit!” Lalu Allah berfirman “Wahai Musa!Orang yang dagang itu tiadalah baginya kekasih seumpamaKu.Orang yang fakir itu tiadalah baginya seumpamaku Yang Memperkenankan dan orang yang sakit tiadalah seumpamaKu tabibnya” Disebutkan di dalam sebuah hadis Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam telah bertanya kepada para sahabat “Apakah iman yang paling dijunjungkan?” Para sahabat ada yang menjawab iman para malaikat,ada yang menjawab iman para nabi dan ada yang menjawab iman para sahabat nabi.Lalu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Itulah iman umatku yang datang selepasku .mereka percaya kepadaku walaupun tidak melihat daku dan tidak mendengar perkataanku itulah iman yang paling ajaib”

Adalah dikatakan bahawa sesungguhnya orang-orang kafir apabila ditimpa bala dan kesusahan mereka akan meninggalkan segala sembahan-sembahan mereka.Adapun orang-orang yang beriman apabila mendapat kesusahan dan cubaan daripada Allah akan semakin kasihlah mereka kepada Allah.Yusuf ibu Asbath menceritakan bahawa suatu hari dia telah pergi ke negeri Syam dan telah melihat seorang yang dianggap oleh orang ramai sebagai orang gila sedang terbelenggu dengan rantai.Ketika orang itu melihat kepada Yusuf dia berkata “Wahai Yusuf!Tidakkah redha TuhanMu,dengan sebab kasihku kepadNya ditanggalkannya akalku dan dengann sebab kasihku kepadaNya sehingga dirantai akan daku.Katakanlah kepadaNya jikalaulah dikerat tubuhku sepotong demi sepotong tidaklah bertambah bagiku melainkan kasih” Kemudian dia berpaling dan menangis seraya mengatakan “Wahai orang yang bersungguh-sungguh dengan perkataannya!Jadilah ia bersungguh-sungguh di dalam kasih itu menyebut akan mulanya.Dan tiadalah kasih itu dianggap benar dan ikhlas sehinggalah dianggap segala bala itu ain nikmatnya”

Adalah mertabat kasih itu ada lima.Pertama sofwah(pilihan) ,kedua khullah(kesayangan) ,ketiga qurbah(damping) , keempat nikmah dan kelima mahabbah(cinta).Adalah sofwah itu bagi Adam kerana sesungguhnya Allah telah memilih baginda seperti firmanNya:

إِنَّ اللَّـهَ اصْطَفَىٰ آدَمَ

Ertinya: Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam (Ali Imaran 3:33).

Khullah itu bagi Nabi Ibrahim seperti firman Allah:

وَاتَّخَذَ اللَّـهُ إِبْرَ‌اهِيمَ خَلِيلًا

Ertinya: dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.(An Nisa 4:125)

Qurbah itu bagi Nabi Musa seperti firman Allah:

وَنَادَيْنَاهُ مِن جَانِبِ الطُّورِ‌ الْأَيْمَنِ وَقَرَّ‌بْنَاهُ نَجِيًّا

Ertinya: Dan Kami telah menyerunya(Musa) dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami. (Maryam 19:25)

Nikmah itu bagi Nabi Isa seperti firman Allah:

إِذْ قَالَ اللَّـهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْ‌يَمَ اذْكُرْ‌ نِعْمَتِي عَلَيْكَ

Ertinya: (Ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu (Al Maidah 5:110)

Mahabbah itu bagi Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam seperti firman Allah:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu (Ali Imran 3:31)

Adalah makhluk itu terbahagi tujuh:

1)Barangsiapa yang mengikut hawa akan memperoleh keterputusan daripada rahmat Allah.

2)Barangsiapa yang mengikut nafsu akan memperoleh menyesal.

3)Barangsiapa yang mengikut syaitan akan memperoleh neraka.

4)Barangsiapa yang mengikut syahwat akan memperoleh sia-sia.

5)Barangsiapa yang mengikut fir’aun akan memperoleh tenggelam di dunia dan azab di akhirat.

6)barangsiapa yang mengikut makhluk akan memperoleh menyesal

7)Barangsiapa yang mengikut Rasul akan memperoleh kasih.Firman Allah:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu (Ali Imran 3:31)

Ditanya Siti Maryam binti Imran “Mengapakah engkau tidak berkahwin?” Dia menjawab “Kerana lidahku sibuk menyebut namaNya,anggotaku sibuk berkhidmat kepadanya dan hatiku sibuk dengan mencintaiNya.Jika aku berkahwin nescaya lidahku terganggu daripada menyebut namaNya dan anggotaku terganggu daripada berkhidmat kepadaNya dan hatiku terganggu daripada mencintaiNya” Lalu Allah Taala mengurniakannya anak tanpa melalui suami yaitu Nabi Isa alaihissalam dan mengurniakan rezeki tanpa melalui asbab.Setiap kali Nabi Zakaria masuk ke dalam mihrabnya didapatinya telah tersedia rezeki.

Diceritakan oleh Abi AbduLlah bahawa suatu masa dia tinggal di Mekah lalu datanglah seorang pemuda kepadanya dan berkata “Wahai Ustaz!Jikalau ditakdirkan aku meninggal nanti engkaulah yang menguruskan jenazahku” Selepas beberapa lama pemuda itu pun meninggal dunia maka datanglah seorang lelaki kepada Abi AbduLlah memberitahunya bahawa pemuda itu telah pun meninggal dunia.Abi AbduLlah pun pergilah menguruskan dan memandikan jenazahnya.Ketika beliau hendak mengkafankan jenazahnya tiba-tiba pemuda itu membukakan dua matanya sambil tersenyum.Abu AbdiLlah pun berkata “Adakah engkau ini hidup atau mati?” Pemuda itu menjawab “Wahai Ustaz!Tidakkah engkau tahu kekasih-kekasih Allah itu tidak mati.Hanya berpindah kekasih kepada kekasihnya jua seperti firmanNya إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ (apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna-Al Anfal 8:24)”

Adalah diceritakan seorang lelaki telah membeli seorang sahaya.Sahaya tersebut berkata kepadanya “Wahai tuanku!Aku bersedia menjadi hambamu dengan tiga syarat.Yang pertama jangan engkau menghalang aku daripada sembahyang fardu apabila masuk waktunya.Yang kedua engkau bebas untuk menyuruh aku apa saja pada waktu siang tetapi engkau tidak boleh mengganggu aku pada waktu malam.Yang ketiga hendaklah engkau sediakan bagiku suatu tempat untuk diriku yang tidak boleh sesiapa pun masuk.” Lalu berkatalah lelaki itu “Baiklah,aku terima syarat-syarat itu” Lelaki itu pun menyuruh sahayanya supaya memilih suatu tempat di kawasan rumahnya untuk dia tinggal.Kebetulan di sana ada sebuah rumah yang telah roboh lalu sahaya itu memilih rumah roboh tersebut sebagai tempat tinggalnya.Lalu lelaki itu berkata “Wahai sahaya!Mengapa engkau memilih rumah yang telah roboh?” Lalu dijawabnya “Wahai tuanku!Engkau tidak mengetahui bahawa rumah roboh ini bagiku seumpama taman”.Kemudian adalah sahaya itu berkhidmat kepada tuannya di waktu siang dan di malam hari pula dia beribadat kepada Allah sepanjang malam.Kebetulan pada suatu malam lelaki yang empunya sahaya itu mengadakan pesta minuman keras bersama sahabat-sahabatnya sehingga berlalu separuh malam pesta itu selesai dan para sahabatnya pulang ke rumah masing-masing.Lelaki itu pun berjalan-jalan di kawasan perkarangan rumahnya dan akhirnya sampai di tempat sahaya itu sedang beribadat.Lalu terlihatlah kepadanya sahayanya itu sedang sujud sedangkan di kepalanya terdapat lampu yang terang yang tergantung dari atas langit.Ketika itu dia mendengar sahayanya itu bermunajat dengan mengatakan “Wahai Tuhanku!Kalaulah tidak kerana Engkau telah mewajibkan aku untuk berkhidmat kepada tuanku sudah tentu siang dan malam aku hanya berkhidmat dan beribadat kepadaMu.Maafkanlah daku wahai Tuhanku!”.Lelaki itu terus-menerus melihat segala yang dilakukan oleh sahayanya sampailah ke waktu subuh.Apabila masuk sahaja waktu subuh,terangkatlah lampu yang tergantung di atas kepala sahayanya itu naik ke langit dan rumah tempat sahayanya itu beribadat jadi roboh semula seperti sediakala.Lelaki tuanpunya hamba itu menceritakan apa yang dilihatnya kepada isterinya.Pada malam yang berikutnya dia membawa isterinya untuk sama-sama menyaksikan apa yang telah dilihatnya dan mereka sama-sama menyaksikan sambil menangis hingga ke waktu subuh.Pada waktu siangnya mereka memanggil sahaya tersebut dan berkata kepadanya “Engkau kami merdekakan kerana Allah supaya engkau dapat menggunakan sepenuh masamu untuk beribadat kepadaNya” Mereka juga turut menceritakan apa yang telah mereka lihat sebelum itu.Lalu sahaya itu mengangkat dua tangannya ke langit sambil berkata “Wahai Tuhan yang mempunyai rahsia!Rahsianya telah nyata maka aku tidak lagi berkehendak untuk terus hidup apabila telah nyata rahsianya.Wahai Tuhanku!Aku pohonkan Dikau supaya Engkau bukakan rahsiaku dan jangan Engkau nyatakan halku.Apabila telah Engkau nyatakan halku maka ambillah aku ke hadhratMu” Lalu sahaya itu pun tertunduk dan langsung keluarlah rohnya.Adalah tanda-tanda orang yang mengasihi Tuhan itu ialah makannya seperti makan orang yang sakit,tidurnya seperti tidur orang yang tenggelam dan menangisnya seperti menangis orang yang rindu yang tidak mengeluarkan bunyi.

SUMBER:JAM'UL FAWAID WA JAWAHIRUL QALAID OLEH SYAIKH DAUD BIN ABDULLAH AL FATTANI

1 comment: