HALAMAN

Sunday, November 13, 2011

FADHILAT TA’AWWUZ ( MEMOHON PERLINDUNGAN DARIPADA ALLAH )

Abu Hurairah radhiaLlahu anhu menceritakan bahawa nabi sallaLahu alaihi wasallam bersabda :

تعوذوا بالله من جهد البلاء , ودرك الشقاء , وسوء القضاء ، وشماتة الأعداء

Ertinya:Berlindunglah kamu sekelian daripada kepayahan bala , tingkat kecelakaan ,keburukan hokum dan kegembiraan para musuh.(HR Bukhari dan Muslim)

Hikmah diperintah agar bermohon perlindungan daripada Allah daripada segala keburukan itu ialah sebagai tanda merendah diri terhadap Allah dan mengetuk pintu pemeliharaanNya.Sesungguhnya Allah telah menceritakan kepada kita bahawa para-para nabi dan wali-waliNya juga pernah meminta perlindungan daripadaNya dan Dia telah memerintahkan kita semua supaya meminta perlindungan daripadaNya sebagaimana berikut:

1)Nabi Nuh AS seperti di dalam firmanNya:

قال رب إني أعوذ بك أن أسألك ما ليس لي به علم وإلا تغفر لي وترحمني أكن من الخاسرين

Ertinya:(Nuh berdoa) dengan berkata Wahai Tuhanku Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada meminta sesuatu perkara yang tidak aku ketahui dan sekiranya Engkau tidak mengampuniku dan merahmatiku nescaya menjadilah aku dari kalangan orang-orang yang rugi.(Surah Hud:47)

Lalu Allah mengurniakannya dua perkara.Pertama diselamatkan daripada taufan banjir dan yang kedua diberkati sekelian anak buahnya sehingga ada yang melahirkan para nabi seperti firmanNya:

قيل يا نوح اهبط بسلام منا وبركات عليك وعلى أمم ممن معك وأمم سنمتعهم ثم يمسهم منا عذاب أليم

Ertinya:Wahai Nuh!Turunlah daripada bahtera dengan sejahtera dan keberkatan atasmu dan atas orang-orang yang bersamamu dan (dalam pada itu) ada umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami yang tidak terperi sakitnya".

2)Nabi Musa AS seperti di dalam firmanNya:

أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

Ertinya:(Musa berkata) Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi dari kalangan orang-orang yang jahil.(Surah Al Baqarah:67).

Lalu Allah menunaikan untuknya dua hajat.Yang pertama dapat menghidupkan orang yang telah mati di dalam peristiwa lembu ajaib.Yang kedua dapat membukakan kekeruhan kaumnya..

3)Nabi Yusuf seperti di dalam firman Allah:

قَالَ مَعَاذَ اللَّـهِ ۖ إِنَّهُ رَ‌بِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ

Ertinya: Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; (Surah Yusuf:23)

Lalu Allah melepaskannya daripada kejahatan dan kekejian.

4)Siti Maryam seperti firman Allah:

قَالَتْ إِنِّي أَعُوذُ بِالرَّحْمَنِ مِنْكَ إِنْ كُنْتَ تَقِيّاً

Ertinya: Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.(Surah Maryam:18)

Lalu Allah mengurniakan kepadanya anak iaitu Nabi Isa alaihissalam dan Allah menghilangkan tohmahan kaumnya terhadapnya dengan melalui Nabi Isa yang berkata-kata semasa bayi sepertimana firman Allah:

قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّـهِ آتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا

Ertinya: Ia (Isa) menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.(Surah Maryam:30)

5)Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam seperti firman Allah:

وَقُل رَّ‌بِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ ﴿٩٧ وَأَعُوذُ بِكَ رَ‌بِّ أَن يَحْضُرُ‌ونِ

Ertinya: Dan katakanlah: "Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan(97) Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku(98)

Lalu Allah mengislamkan syaitan yang mengganggu baginda.

Tatkala Nabi Ibrahim AS hendak dilontar ke dalam api oleh Raja Namrud baginda telah mengungkapkan doa perlindungan iaitu:

اعوذ منها بالله الذي خلقني

Ertinya:Aku berlindung daripadanya (api) dengan Allah yang telah menciptaku.

Lalu datanglah Jibril dengan berkata “Adakah bagimu suatu hajat?” Nabi Ibrahim menjawab “Aku tidak mempunyai apa-apa hajat darimu”

Lalu Allah menjadikan api itu sejuk dan selamat ke atas Nabi Ibrahim.Firman Allah:

قُلْنَا يَا نَارُ‌ كُونِي بَرْ‌دًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَ‌اهِيمَ

Ertinya: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".(surah Al Anbiya:69)

Jika diselamatkan Nabi Ibrahim daripada api Maharaja Namrud kerana baginda meminta perlindungan daripada Allah maka tidakkah wajar juga seseorang yang beriman itu diselamatkan daripada api neraka apabila setiap harinya mereka meminta perlindungan dengan Allah daripada api neraka tersebut?Sudah tentulah jawapannya adalah sangat –sangat wajar sekali.

Menurut setengah hukama perumpamaan orang mukmin itu adalah seumpama seseorang yang berjalan di suatu tempat yang ada padanya beberapa ekor anjing yang akan menyerangnya sedangkan dia tidak mempunyai keupayaan menolak serangan anjing-anjing itu.Hanya satu cara saja yang dapat dilakukan.Iaitu berjumpa dengan tuan punya anjing –anjing tersebut dan meminta tuannya itu menambat anjing-anjingnya.Demikianlah Allah itu adalah Tuan kepada syaitan-syaitan yang cuba membinasakan manusia kerana Dialah pencipta syaitan-syaitan tersebut.Oleh itu hanya Dia sajalah yang berkuasa untuk ‘menambat’ syaitan-syaitan dan mencegah daripada menggoda manusia.Oleh itu adalah menasabah jika kita minta perlindungan daripada Allah dalam menolakkan godaan syaitan-syaitan tersebut.

Dihikayatkan musuh Allah iblis pernah berkata kepada Allah:Wahai Tuhanku bahawasanya umat Muhammad mengatakan “Aku kasih kepada Allah dan aku benci kepada syaitan.”Tetapi mereka itu melakukan maksiat terhadapMu dan mentaati seruanku.

Lalu Allah menjawab:Maka dengan kehormatan dakwaan mereka mengasihiKu maka Aku maafkan apa yang mereka cuaikan dari hakKu dan apa yang mereka lakukan dalam mengikut seruanmu.

Kata Wahab(bin Munabbih?) takutlah kalian kepada Allah dan janganlah kalian memaki syaitan pada zahir tetapi mentaatinya pada batin.Barangsiapa yang ingin selamat daripada syaitan dan tipu dayanya hendaklah dia berlindung dengan Allah daripada syaitan itu zahir dan batin dan banyakkan berzikir kepada Allah siang dan malam maka sesungguhnya tidak suatu pun yang terlebih mematahkan tulang belakang syaitan itu daripada seorang yang berkata “A’uuzubiLlahi minas syaitanirrajim”-Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.

Kata Hasan adalah iblis itu asalnya mengerjakan ibadah kepada Allah di langit yang ketujuh selama 770,000 tahun dan ditugaskan menjaga syurga bersama malaikat Ridhwan selama seribu tahun.Maka ia melihat tersurat pada halaqah pintu syurga satu suratan yang berbunyi “Sesungguhnya ada bagi Ku hamba yang termasuk dari kalangan hamba-hambaKu yang muqarrabin Aku memerintahkannya dengan suatu pekerjaan tetapi tidak menjunjung akan suruhanKu bahkan cuai lalu Aku menolaknya daripada pintu rahmatKu dan Aku melaknatinya dan Aku jadikan segala ketaatannya dan ibadatnya seperti debu yang bertaburan.”

Lalu berkatalah iblis “Hai Tuhanku izinkan aku melaknati hamba tersebut” Maka Allah mengizinkan dan melaknatlah Iblis akan hamba itu selama seribu tahun padahal tidak sedar bahawa dia telah melaknati dirinya sendiri.Setengah ulama mengatakan Malaikat Israfil melihat suratan tersebut di loh mahfuz lalu menangis sehingga ditanya oleh para malaikat yang lain akan sebabnya.Ia berkata “Sesungguhnya aku telah melihat satu rahsia daripada rahsia-rahsia Allah subhanahu wataala” Kemudian diceritakannya apa yang dilihatnya sehingga menangislah sekelian malaikat yang mendengar dengan tangisan yang kuat.Para malaikat semuanya mengatakan tidak ada jalan lain melainkan pergi kepada Azazil kerana ia daripada makhluk yang muqarrabin (hampir dengan Tuhan) dan mustajab doanya.Lalu mereka pun pergilah kepada Azazil.Setalah para malaikat memberitahukan hajat mereka Azazil pun mengangkat tangannya berdoa “Wahai Tuhan ku selamatkanlah mereka semua daripada (takdir kecelakaan) Mu dan putuskanlah bagi mereka dengan rahmatMu” Demikianlah Azazil itu mendoakan bagi para malaikat tetapi terlupa untuk berdoa bagi dirinya sendiri.Lalu Allah mengkabulkan doanya untuk para malaikat itu sedangkan dirinya sendiri disuratkan dengan suratan kecelakaan.Kata setengah ulama ,Allah Taala telah mengubahkan dengan sebab celaka maksiat itu beberapa perkara:

1)Diubahkan nama Iblis itu daripada Azazil menjadi Iblis dengan sebab dia enggan sujud kepada nabi Adam alaihissalam.Sebelumnya Iblis itu adalah makhluk yang taat kepada Allah dan namanya di langit dunia ialah Abid (yang beribadah),di langit kedua Raki’ (yang ruku’ kepada Allah),di langit ketiga Sajid (yang sujud kepada Allah),di langit keempat Khasyi’ (yang khusyu’),di langit kelima Qanit ( yang taat),di langit keenam Mujtahid (yang bersungguh) dan di langit yang ketujuh Zahid (yang zuhud).Dia menjadi ketua kepada 12,000 malaikat dan menurut setengah ulama menjadi ketua kepada 70,000 malaikat.Dia mempunyai sayap daripada zamrud yang hijau.Tetapi oleh kerana kemaksiatannya maka Allah telah mengubahkan namany kepada Iblis.Begitu juga kejadiannya diubah sehingga mukanya menjadi seperti muka kera dan badannya menjadi seperti badan babi

2)Diubahkan warna kulit anak Nabi Nuh yang bernama Ham kerana dia telah melihat aurat bapanya yang sedang tidur lalu diceritakan kepada orang lain sehingga dia didoakan oleh Nabi Nuh dan bertukar warna kulitnya daripada putih menjadi hitam.

3)Diubah suara Nabi Daud alaihissalam dengan sebab satu kesilapan.Kemudian ia telah pergi ke tepi laut dan menangis sehingga dipanggil oleh ikan-ikan yang di laut “Wahai Daud!Di manakah suaramu yang merdu?” Dijawabnya “Telah diubah oleh Allah dengan sebab kesilapanku”

4)Diubahkan kejadian kaum Yahudi yang menangkap ikan pada hari Sabtu menjadi rupa kera.

5)Diubahkan satu kaum dari umat Nabi Isa yang oleh sebab dosa mereka sehingga menjadi babi.

6)Diubahkan harta bangsa Qibti Mesir pada zaman Firaun sehingga airnya menjadi darah dan hartanya menjadi batu melalui doa Nabi Musa alaihissalam.

7)Diubahkan tempat nabi Adam alaihissalam daripada syurga ke dunia dengan sebab makan buah larangan.

8)Dibinasakan Qarun dengan sekelian hartanya ditelan bumi dengan sebab tidak mengeluarkan zakat.

9)Diubahkan keadaan Umayyah bin Abi Salt yang terkenal dengan keilmuannya.Adalah ia tatkala tidur datanglah seekor burung lalu memasukkan paruhnya ke dalam mulutnya dan apabila terjaga jadilah ia lupa akan segala ilmunya.

10)Diubahkan keadaan Barsisa seorang abid pada zaman Nabi Israel dahulu yang telah beribadat kepada Allah selama 220 tahun tetapi dengan sebab telah melakukan maksiat bertukar sekelip mata menjadi seorang yang fasik lagi kafir.Wal iyazubiLlah!

11)Diubahkan keadaan Ibrahim bin Adham dengan sebab satu kesilapan sehingga ditakdirkan jatuh ke tangan seseorang sebagai hamba.Semasa di dalam perhambaan itu ia dipanggil oleh tuannya “Ya Baqar!” (Wahai lembu!).Maka berkatalah Ibrahim bin Adham “Hanya dengan satu dosa telah diubahkan namaku ,betapa jika banyak nescaya diubahkan Allah makrifatku!”

12)Dihapuskan kaum Nabi Nuh dengan banjir.Kata ahli-ahli tarikh Nabi Nuh alaihissalam dilahirkan 820 tahun selepas kewafatan Nabi Adam alaihissalam.Baginda telah diutus oleh Allah kepada kaumnya untuk memperbaiki keadaan kaumnya pada masa itu lalu baginda berdakwah kepada kaumnya menyeru kepada tauhid selama kira-kira 950 tahun.Kaumnya telah melihat kebenaran yang dibawanya tetapi mereka tetap membutakan mata hati mereka dan terus-terusan melakukan maksiat sehinggalah Allah berfirman kepadanya seperti yang tersebut di dalam Al Quran:

وَأُوحِيَ إِلَىٰ نُوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ إِلَّا مَن قَدْ آمَنَ فَلَا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

Ertinya: Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: "Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.(Hud:36)

Kemudian Nabi Nuh alaihissalam pun berdoa kepada Allah agar umatnya dibinasakan seperti yang tersebut dalam firman Allah:

وَقَالَ نُوحٌ رَّ‌بِّ لَا تَذَرْ‌ عَلَى الْأَرْ‌ضِ مِنَ الْكَافِرِ‌ينَ دَيَّارً‌ا

Ertinya: Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!(Nuh 71:26)

Lalu Allah memerintahkan nabi Nuh alaihissalam membina kapal.Baginda telah menanam sebatang pohon dan apabila genap 40 tahun pohon itu ditebang dan dari kayunya dibuat kapal dengan dibantu anak-anaknya.Apabila telah siap kapal datanglah seruan Tuhan yang sangat menakutkan oleh kemurkaanNya seperti yang diceritakan dalam Al Quran:

وَلَا تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا ۚ إِنَّهُم مُّغْرَ‌قُونَ

Ertinya:….. dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan).(Hud 11:37)

Lalu tenggelamlah umatnya yang derhaka itu di dalam banjir taufan.

Maka lihatlah wahai orang yang sentiasa mengekalkan dosanya dan lupa akan dirinya padahal Allah tidak lupa dan lalai daripada dosa yang dilakukan.Lihatlah mereka-mereka yang telah diubahkan oleh Allah dengan sebab maksiat mereka itu maka adakah kita akan selamat daripada hukuman Allah padahal banyak dosa-dosa kita?

Katakanlah kepada orang yang mengekalkan maksiat lagi jahil.Anda melupakan kesudahan orang –orang (yang dahulu) yang seumpama (dalam mengekalkan maksiat).Berapa banyak yang dipermain-mainkan oleh masa.Tidakkah kita dengar ancaman yang memadai daripada kisah-kisah mereka?Tidakkah kita terfikir akan datang satu hari ke atas kita seperti yang datang ke atas mereka?Hai umat!Penyesalan ahli-ahli neraka itu sesungguhnya hanyalah kebinasaan dan kecelakaan!Tidak sanggup untuk menceritakan balasan yang mereka terima.Setiap mereka dahaga dihidangkan dengan air yang tersangat panas dan air danur lalu diminumkan.Itulah balasan orang yang tidak taat lagi fasik.Ditetapkan Allah mendapat siksa yang mencabik-cabikkan.Dipisahkan daripada teman-temannya.Jikalaulah kita melihat mereka di dalam belenggu dan rantai.Kita akan melihat mereka mengeram-ngeram kerana kesakitan.Ketika itu bercita-citalah mereka alangkah baiknya kalau mereka tidak dijadikan.Sungguh sangat menyesal kerana mereka dahulu berpaling dari nasihat yang benar.Keuzuran mereka tidak akan didengari dan tangisan mereka tidak akan memberi menafaat.

Sesungguhnya neraka itu sangat dalam dasarnya dan panasnya itu sangat dahsyat.Makanannya adalah zaqum dan hadid.Minumannya itu hamim (air yang sangat panas) dan sadid (nanah).

Disebutkan di dalam khabar bahawa Jibril alaihissalam datang kepada nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam lalu Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda kepadanya “Ceritakanlah kepadaku keadaan di neraka itu” Jibril menjawab “Allah subhanahu wataala telah menciptakan neraka lalu dinyalakan seribu tahun sehingga merah.Kemudian dinyalakan seribu tahun sehingga hijau.Kemudian dinyalakan lagi seribu tahun sehingga hitam.Dan hitamnya itu tersangat kelam.Demi Tuhan yang telah mengutuskan engkau dengan sebenarnya jikalau sehelai kain penghuni neraka itu dinyatakan kepada penduduk bumi nescaya mati sekeliannya.Dan jikalau setitik daripada minumannya dituangkan di dalam segala air di bumi nescaya akan jadi busuk sekeliannya bagi orang yang merasakannya.Dan jikalau sehasta sahaja daripada rantai neraka yang disebutkan di dalam Al Quran diletakkan di atas bukit dunia nescaya hancur bukit itu.Dan jikalau seorang lelaki yang telah dimasukkan ke dalamnya lalu dikeluarkan untuk ditunjukkan kepada penduduk dunia nescaya mati sekelian penduduk dunia dengan sebab tersangat busuk baunya” Maka menangislah Nabi dan menangislah Jibril dengan sebab tangisan baginda.Lalu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Hai Jibril!Engkau adalah Al Ruhul Amin” Maka dijawab Jibril “Aku takut mendapat percubaan seperti cubaan ke atas dua malaikat Harut dan Marut.Itulah sebabnya aku menangis” Lalu Allah mewahyukan kepada keduanya “Hai Jibril dan Muhammad!Sesungguhnya Aku telah menjamin keselamatan kamu berdua daripada neraka tetapi janganlah kamu berdua daripada berhenti menangis”

Ketika diturunkan ayat:

وَإِن مِّنكُمْ إِلَّا وَارِ‌دُهَا ۚ كَانَ عَلَىٰ رَ‌بِّكَ حَتْمًا مَّقْضِيًّا

Ertinya: Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.(Maryam 19:71)

Lalu RasuluLlah masuk ke rumah dan tidak keluar melainkan untuk bersembahyang.Dan baginda telah meminta kepada Sayidatina Aisyah akan pakaian dan selendangnya lalu dipakai dan kemudian baginda keluar.Ketika itu Sayidatina Aisyah bertanya “Ya RasuluLlah ke manakah tuan hendak pergi?” Lalu baginda menjawab “Ke tempat tinggal orang yang dukacita” Kemudian baginda keluar ke Baqi’ Al Gharqad (kawasan pemakaman kaum muslimin) lalu Sayidatina Aisyah berkata kepada baginda “Bolehkah daku khabarkan kepada seseorang ke tempat yang kamu pergi?” Baginda bersabda “ Ya “ Sementara itu puteri baginda Sayidatina Fatimah merasa kurang senang lalu berkata kepada suaminya Sayidina Ali “Wahai Ali! Daku hendak menemui bapaku kerana daku tidak dapat melelapkan mata setelah tidak melihatnya tiga hari ini” Lalu pergilah Sayidatina Fatimah diikuti oleh Sayidina Ali dan mereka pun bertanya kepada Sayidatina Aisyah tentang baginda.Maka Aisyah pun mengatakan bahawa baginda pergi ke Baqi’ lalu mereka pun pergi mendapatkan baginda.Didapati RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam sedang sujud sambil berdoa kepada Allah.Ketika baginda mendengar suara Sayidina Ali,baginda pun mengangkatkan kepala dan bersabda “Pergilah bawa kepada ku cucuku Hasan dan Husain.Siti Fatimah pun pergi mendapatkan Hasan dan Husain yang ketika itu sedang tidur lalu dijagakan keduanya dan dibawa kepada Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam.RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda “Tolonglah daku pada malam ini” Mereka pun berkata “Apakah yang patut kami buat?” Baginda bersabda “Ambillah air sembahyang dan hendaklah kalian bersembahyang kemudian sujudlah dengan meletakkan kepala di atas tanah dan berdoalah “Wahai Tuhanku! Kasihanilah bapaku Muhammad” Lalu mereka membuat seperti yang diminta.Kemdian turunlah malaikat Jibril alaihissalam dan berkata “Wahai Muhammad! Keika mereka sujud dan berdoa maka sujudlah semua malaikat yang ada di dalam tujuh petala langit dan menangis sekeliannya” Ketika itu Allah berfirman “Wahai Muhammad! Apakah yang engkau kehendakki?” Jawab baginda “Wahai Tuhanku! Daku ingin mengetahui apakah yang akan Engkau perbuat ke atas umatku di dalam neraka” Lalu Allah pun berfirman “Aku akan melakukan ke atas mereka seperti Aku lakukan ke atas khalilku Ibrahim seperti firmanKu:

يَا نَارُ‌ كُونِي بَرْ‌دًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَ‌اهِيمَ

Ertinya: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".

Inilah yang dimaksudkan firman Allah:

ثُمَّ نُنَجِّي الَّذِينَ اتَّقَوا وَّنَذَرُ‌ الظَّالِمِينَ فِيهَا جِثِيًّا

Ertinya: Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.(Maryam 19:72)

Dan adalah neraka itu kelam,panas dan nur.Maka kelam itu bagi segala munafik.Panas itu bagi segala kafirin dan nur itu bagi segala mukminin.

Ya Allah! Tetapkanlah hati-hati kami dan sekelian kaum muslimin di atas agamaMu…

Sumber:JAM'UL FAWAID WA JAWAHIRUL QALAID OLEH SYAIKH DAUD BIN ABDULLAH AL FATTANI


No comments:

Post a Comment