HALAMAN

Saturday, April 10, 2010

MENJAWAB TULISAN MOHAMAD ABDUL SAHAK SETERUSNYA

Untuk membuktikan lagi bahawa sememangnya Imam Al Ghazali mempunyai keahlian di dalam membezakan antara hadis-hadis sahih lemah dan palsu maka kita cabut beberapa petikan daripada Ihya sendiri di mana Imam Al Ghazali sendiri di dalam beberapa tempat menjelaskan kedudukan hadis-hadis yang ditulisnya.Di dalam meriwayatkan hadis solat raghaib beliau menjelaskan, “...sesungguhnya kami mendatangkan (hadis solat raghaib itu di sini ialah kerana ianya berulang-ulang dengan berulang –ulang tahun walaupun mertabatnya tidak sampai kepada mertabat solat tarawih dan solat id kerana solat (raghaib) ini dinaqalkan oleh perawi-perawi yang uhad.”(Ihya Dar Al Kutub Al Ilmiah Sub Kitab Asrar Al Solah ms 192)Dari petikan tersebut menunjukkan Imam Al Ghazali mempunyai pendapat dan ijtihad beliau sendiri tentang hadis solat raghaib.Walaupun Imam Al Iraqi di dalam takhrijnya menyalahi beliau di dalam perkara ini dengan mengatakan bahawa hadis tersebut palsu namun ia bolehlah disifatkan sebagai khilafiah di kalangan ulama. Contoh lain dalam Ihya juga dalam Sub Kitab Al Halal Wal Haram ms 108 beliau di dalam komentarnya terhadap hadis hukum janin binatang yang disembelih ibunya menjelaskan, “hadis tersebut sahih tiada jalan bagi ihtimal pada matannya dan tiada kedaifan pada sanadnya,dan demikian juga telah sahih bahawa pernah dimakan daging dhab itu pada hidangan Rasulullah dan dipetik (hadisnya)dari dua kitab sahih(Bukhari dan Muslim)”.Di dalam Sub Kitab Adab Al Sima’ ms 245 beliau menerangkan kedudukan sebuah hadis di mana Rasulullah saw bersyair dengan menyebut :Ya Allah sesungguhnya kehidupan itu hanyalah kehidupan akhirat,maka rahmatilah kaum Ansar dan Muhajirin.Beliau (Al Ghazali)mengatakan hadisnya terdapat di dalam Kitab Bukhari dan Muslim.Di dalam Sub Kitab yang sama ms 249 beliau menyebutkan berkenaan hadis Aisyah yang sewaktu kecil bermain dengan anak patung di mana beliau menyebutkan hadis tersebut terdapat di dalam sahih Muslim.Demikianlah beberapa cabutan dari Kitab Ihya yang menunjukkan keahlian Imam Al Ghazali di bidang hadis.Tentunya Imam Al Ghazali tidak akan mengulas kesemua hadis-hadis yang ditulisnya di dalam Ihya yang jumlahnya mungkin ribuan kerana bukan itu tujuan Kitab Ihya ditulis.Malahan terdapat juga hadis yang dihukum palsu oleh ulama-ulama hadis seolah-olah telah pun berlaku pada masa kita sekarang yang menunjukkan seolah-olah hadis tersebut berkemungkinan benar seperti hadis “akan datang (suatu zaman )ke atas umatku mereka menghalalkan yang haram atas nama hadiah dan menumpahkan darah atas nama undang-undang di mana orang yang tidak bersalah dibunuh dengan tujuan menggerunkan orang lain”Imam Al Iraqi mengatakan hadis tersebut tidak mempunyai asal namun kenyataannya ia telah berlaku sekarang di mana manusia menamakan rahsuah itu dengan duit kopi dan membunuh orang lain dengan tujuan membalas dendam dan menakutkan musuh pada hal yang dibunuh itu hanyalah kanak-kanak dan orang awam.!Wallahu a’lam Ini semua menunjukkan yang Imam Al Ghazali berkelayakan di dalam ilmu hadis.Perkara ini disedari oleh para ulama yang hidup sezaman dengannya dan yang datang kemudian dan gelaran Hujjatul Islam yang sinonim dengan beliau itu bukanlah diperolehinya secara percuma dan bukan pula beliau meletakkan sendiri dan bukan pula diberikan oleh orang-orang yang jahil!Pendapat yang menyebutkan bahawa Imam Al Ghazali baharulah menghafal hadis sahih Bukhari dan Muslim di akhir hayatnya adalah pendapat yang sukar diterima memandangkan kitab-kitab karangannya sarat dengan kandungan hadis termasuklah hadis yang diriwayatkan di dalam Kutb Al Sittah.dan di tempat tertentu di dalam tulisannya itu beliau membuat ulasan terhadap beberapa hadis yang menunjukkan beliau tahu kedudukan dan nilai hadis-hadis tersebut.seperti yang diterangkan di atas.Jadi dari mana pula pendapat yang mengatakan beliau tidak mengetahui ilmu hadis?
Beliau juga tidak pernah menganut apa-apa aliran yang bertentangan dengan fahaman sunnah sejak sebelum menjadi ahli tasawuf dan lebih-lebih lagi selepas menjadi ahli tasawuf.Dakwaan saudara Mohamad atau mana-mana ulama kononnya beliau kembali kepada akidah salaf adalah dakwaan yang samada dusta atau salah tanggap yang membawa kepada kekeliruan dan buruk sangka.Ini ialah kerana Imam Al Ghazali sejak dari kecil hingga wafat berakidah dengan akidah ahli sunnah kaedah Asy’ariah yang berpaksikan Al Quran dan Al Hadis yang menjadi panutan para salaf Salah tanggap yang membawa kepada kekeliruan dan buruk sangka oleh saudara Mohamad dan orang-orang yang sealirannya dari aliran Kaum Muda dan Wahhabi itu adalah berpunca dari salah tanggap mereka yang lebih pokok iaitu kononnya akidah Asya’riah menyeleweng dari fahaman sunnah dan salaf kerana mereka mengambil metod ilmu kalam di dalam membahaskan persoalan akidah.Ternyata salah tanggap tersebut sebenarnya tidak benar dan hanya membawa kekeliruan dan buruk sangka terhadap ulama-ulama Asy’ariah Untuk mengetahui bagaimanakah kedudukan ilmu kalam itu di sisi ulama Asy’ariah dapat kita fahami dari tulisan Imam Ghazali di dalam Ihya di mana beliau menulis,”Demi umurku ilmu kalam itu selalunya tidak dapat memberi menafaat dalam menyingkap,memberi pengenalan dan menerangkan kebenaran dalam banyak prkara melainkan sedikit, itu pun dalam perkara-perkara yang telah jelas yang sebenarnya dapat diketahui tanpa difikirkan dengan mendalam melalui metod ilmu kalam, tetapi menafaatnya hanyalah memelihara akidah orang awam daripada was-was ahli-ahli bid’ah yang menggunakan perbahasan ilmu kalam (bagi meragukan orang awam)Sesungguhnya orang awam itu (biasanya)lemah dan tidak dapat mengatasi hujjah ahli-ahli bid’ah walaupun hujjah-hujjah mereka batil dan adalah dengan menghadapi yang batil (ilmu kalam)dengan yang batil itu(dengan ilmu kalam juga) akan dapat menolaknya (kebatilan)” (Lihat Ihya Ulum Al Din Sub Kitab Qawaid Al Aqaid Dar Al Kutub Al Ilmiah ms 95)Jadi ternyatalah ilmu kalam bukannya asas di dalam menetapkan akidah tetapi hanyalah untuk menolak keraguan daripada ahli-ahli bid’ah yang menggunakan ilmu kalam itu di dalam menyesatkan orang awam.Pegangan Imam Ghazali ialah beliau tidak sesekali mempercayai ilmu kalam tetapi sajian ilmu kalam hanyalah sebagai perisai terhadap akidah sunnah yang sebenarnya disabitkan melalui Al Quran dan Sunnah dan ini jugalah sebenarnya pegangan Asy’ariah.Oleh itu penggunaan ilmu kalam hendaklah dielakkan daripada orang awam melainkan jika perlu seumpama menjawab tentangan dan membatalkan fahaman ahli-ahli bid’ah yang sekira-kira telah merata di dalam sesebuah negeri.Itulah yang ditekankan oleh beliau di dalam Ihya dan itu jugalah yang diulangi lagi di dalam kitab Iljam Al Awam jika benarlah kitab Iljam Al Awam itu adalah kitab beliau yang terakhir.Oleh itu tidak timbul soal yang kononnya beliau telah kembali kepada akidah sunnah atau salaf dan lain-lainnya Jika benarlah dakwaan yang mengatakan bahawa Imam Ghazali kononnya telah kembali kepada akidah sunnah dan meninggalkan fahamannya yang dahulu yang kononnya tidak sunnah dengan tertulisnya kitab beliau yang terakhir iaitu Iljam Al Awam sebagaimana yang disalah tanggapkan oleh saudara Mohamad,maka ini tentulah akan menjadikan kitab-kitab yang ditulisnya sebelum itu termasuklah kitab Ihya Ulum Al Din semuanya tertolak dan saya rasa tidak ada yang lebih dusta dari kesimpulan ini.Sedangkan Al Hafiz Al Imam Al Fakih Abu Al Fadhal Al Iraqi di dalam Takhrijnya mengatakan “Sesungguhnya kitab Ihya itu adalah salah sebuah daripada sebesar-besar kitab agama Islam pada mengenal halal dan haram.....”(Takrif Al Ahya bi Fadhail Al Ihya ms 5)Kata Imam Nawawi pula “Hampir-hampir kitab Ihya itu Al Quran.”(Ibid).Imam Al Iraqi oleh kerana begitu menghargai kitab Ihya Ulum Al Din sehingga beliau telah menulis kitab ‘Al Mughni An Hamli Al Asfar fi Al Asfar Fi Takhrij Ma Fi Al Ihya Min Al Akhbar’untuk memudahkan orang-orang yang membaca Ihya membuat rujukan sumber-sumber rujukan hadis yang digunakan Kalau benarlah kitab Ihya itu tertolak dengan tertulisnya Kitab Iljam Al Awam ,nescaya tidak berfaedah bagi Imam Al Iraqi menulis Takhrijnya malah adalah lebih berfaedah bagi beliau menulis sebuah kitab khusus untuk membatalkan kitab Ihya tersebut!Mengapakah hal yang sebegini mudah tidak dapat difikirkan oleh saudara Mohamad dan orang-orang yang ‘sewaktu dengannya’.Atau mungkinkah ada agenda tertentu yang cuba diusahakan oleh golongan Aliran Hadis dan Sunnah di sebalik cerita rekaan tentang kembalinya Imam Al Ghazali kepada akidah salaf.Hal ini samalah dengan cerita rekaan yang mengatakan kononnya Imam Asy’ari di akhir hayatnya telah kembali kepada akidah salaf. Nampaknya cerita rekaan yang telah dikenakan ke atas Imam Asy’ari kini cuba dikenakan pula ke atas Imam Al Ghazali dengan memperalatkan fakta-fakta tertentu yang boleh dicabar untuk mengelirukan orang awam.Ini semua didorong oleh perasaan taksub kepada aliran yang tertentu yang didakwa kononnya mewakili aliran sunnah dan salaf pada hal hakikatnya hanyalah indah pada khabar tetapi tidak pada rupa.Bagi mengakhiri tulisan saya ini,saya ingin menyeru mereka yang telah diracuni pemikirannya oleh aliran tersebut yang mengatas namakan kumpulan mereka dengan aliran sunnah dan salaf supaya sedar dan kembalilah kepada aliran salaf yang sebenar dengan berpegang teguh kepada ulama-ulama yang telah diakui kewibawaan mereka seperti Imam Al Syafii,Imam Asy’ari,Imam Al Ghazali,Imam Nawawi,Ibnu Hajar,Imam Ramli dan lain-lain dan janganlah dikelirukan oleh pemikiran songsang yang menyamarkan diri dengan gerakan tajdid tetapi dalam masa yang sama cuba menghapuskan kerja-kerja cemerlang oleh para ulama muktabar pendahulu kita.Sekian wassalam.

No comments:

Post a Comment