Berkenaan hadis mutawattir ianya terbahagi kepada dua:
a) Mutawattir lafzi
b) Mutawattir maknawi
Kenyataan yang mengatakan hanya ada satu sahaja hadis mutawattir adalah tidak benar.Al Imam Al Sayuti telah mengumpulkan kesemua hadis-hadis mutawattir di dalam sebuah kitab yang berjudul “Al Azhar Al Mutanathirah fi Al Akhbar Al Mutawatirah”yang mana jumlah hadis-hadis yang mutawattir yang dikumpulkan itu mencecah 1513 hadis.Sesuatu hadis mutawattir itu samada lafzi atau maknawi adalah ‘khabar yakin’yang wajib diamalkan dan menjadi kafir sesiapa yang menolaknya kerana lazim dengan penolakan itu menafikan salah satu rukun iman iaitu beriman kepada Rasul.Berkenaan dengan khabar ahad maka ianya terbahagi kepada empat iaitu sahih,hasan ,daif dan
mauduk(palsu).Tidak begitu sukar bagi ulama-ulama hadis yang genius seperti Imam Bukhari(wafat 257 H),Muslim(wafat 261H),Abu Daud(wafat 275 H),Tirmizi(wafat 279 H),Nasai(wafat 303 H),Ibnu Majah(wafat 273 H) dan Imam Ahmad(wafat 241 H) untuk membezakan di antara hadis-hadis yang sahih ,daif dan mauduk kerana zaman mereka hidup dan menuntut ilmu masih di dalam jarak yang hampir dengan zaman kenabian iaitu di sekitar kira-kira 300 tahun hijrah yang mana pada zaman tersebut masih ramai yang bersifat amanah yang disebutkan oleh nabi sebagai ‘khairul qurun’ yang mana nabi bersabda :
خيرالقرون قرني ثم يلونهم ثم يلونهم
Ertinya:Sebaik-baik kurun itu adalah kurunku kemudian kurun selepasnya ,kemudian kurun selepasnya.
Kebanyakan hadis yang sampai kepada mereka juga hanya melalui dua tiga orang perawi sahaja(yang berlainan generasi) sebelum dibukukan .Keadilan para perawi pula hampir kesemuanya diakui secara mutawattir oleh orang yang hidup sezaman dengan mereka.Di samping itu juga mereka mengenakan syarat-syarat yang sangat ketat ke atas para perawi dan matan hadis sehingga menutup peluang sama sekali bagi para penyeleweng untuk melakukan penyelewengan tanpa dapat di kesan.Dengan sebab itu semua hadis-hadis yang sahih adalah 99% benar dengan ditolak 1% kemungkinan perawi terlupa,tersilap dsb. Dan kerana adanya kemungkinan 1% kesilapan para perawi ini para ulama tidak berani mengkafirkan orang yang menolak hadis ahad yang sahih akan tetapi orang yang menolak tersebut tetap dikira fasik dan ia terkeluar dari mazhab ahli sunnah.Kesemua kitab-kitab hadis yang masyhur seperti Sahih Bukhari,Sahih Muslim dan Kitab-Kitab Sunan telah ditulis dalam era 300 tahun hijrah yang kemudiannya disalin di dalam beberapa naskhah oleh para peminat ilmu hadis.Sekiranya ada pemalsuan dan peyelewengan hadis selepas daripada tempoh tersebut,maka para penyeleweng terpaksa melakukan penyelewengan melalui naskhah akan tetapi ini tidak berlaku kerana kalau ia berlaku nescaya kita akan menemui naskhah-naskhah yang berbeza seperti ada dua versi sahih Bukhari misalnya.Tetapi ini tidak pernah ditemui oleh kita khususnya di kalangan para pengkaji hadis.Sebelum wujudnya kitab-kitab hadis yang enam ,hadis juga telah direkodkan sejak dari zaman sahabat dan tabiin lagi seperti yang dapat disaksikan daripada catatan Abdullah bin Amru bin Al As seorang sahabat yang wafat pada tahun 65 hijrah yang mana catatannya berjudul Al Sahifa Al Sadiqah.Di dalamnya beliau menghimpunkan sebanyak 1000 hadis seperti yang dikatakan oleh Ibnu Al Athir.Begitu juga Sahifah Jabir bin Abdullah yang ditulis oleh Jabir seorang sahabat yang wafat pada tahun 78 hijrah.Kemudian muncul pula Sahifah Sahihah yang ditulis oleh Hammam bin Munabbih seorang tabiin(wafat 131 h).Kesimpulannya Imam Bukhari bukanlah orang yang mula-mula mengumpulkan hadis dan tidak masuk akal jika ada yang mengatakan berlaku sebarang penyelewengan hadis tanpa dapat dikesan atau diketahui oleh para ulama hadis.Lebih tidak masuk akal pula kalau orang yang mengatakan begitu mengatakan dia menolak hadis berdasarkan kepada kajian akal(?)
Tentang prinsip hukum Islam yang mengandungi prinsip keadilan dan ihsan sebenarnya Kassim tidak mengikuti metodologi Al Quran di dalam perkara ini walaupun Kassim beria-ia mengatakan bahawa beliau berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Al Quran.Di dalam hal ini bukan semua aspek hukum dan perundangan Islam mengandungi konsep ihsan dan tasamuh.Misalnya di dalam undang-undang jenayah Allah membezakan antara hudud dan kisas yang mana di dalam undang-undang kisas terdapat pilihan iaitu antara melaksanakan hukum keadilan atau hukum ihsan apabila diperolehi kemaafan daripada mereka yang menjadi mangsa jenayah.Firman Allah:
كتب عليكم القصاص في القتلى الحر بالحر والعبد بالعبد والأنثى بالأنثى فمن عفي له من أخيه شئ فاتباع بالمعروف وأداء بالإحسان
Ertinya:Difardukan ke atas kamu kisas di dalam kes pembunuhan orang merdeka dengan merdeka,hamba dengan hamba dan
perempuan dengan perempuan dan barang siapa yang mendapat kemaafan dari saudaranya maka hendaklah mengikutnya dengan baik dan menunaikan (diat)dengan ihsan.
Akan tetapi di dalam kes hudud hukumannya adalah mandatori dan tidak ada jalan keluar daripadanya apabila telah cukup saksi dan keterangan.Firman Allah Taala:
الزانية والزاني فاجلدوا كل واحد منهما مائة جلدة ولاتأخذكم بهما رأفة في دين الله....
Ertinya:Penzina perempuan dan lelaki hendaklah dirotan keduanya dengan seratus rotan dan janganlah kalian berasa kasihan pada keduanya pada melaksanakan agama Allah…
Nabi juga menolak usul para sahabat untuk membatalkan hukum hudud ke atas seorang wanita yang didapati bersalah kerana mencuri sambil bersabda:
…لو أن فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها……..
Ertinya:…..Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya…..
Berkenaan perubahan terhadap undang-undang mengikut perubahan zaman,itu tidak mungkin berlaku ke atas ajaran Islam, kerana ajaran Islam telah sempurna.Sesuatu yang sempurna tidak mungkin dapat menerima perubahan.Jikalau yang sempurna dapat menerima perubahan bererti yang sempurna itu pun dikira tidak sempurna dan ini adalah logik.Allah berfirman di dalam Al Quran:
اليوم أكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتي ورضيت لكم الإسلام دينا
Ertinya:Dan pada hari ini telah aku sempurnakan agama kamu dan telah aku cukupkan ke atas kamu nikmatku dan aku redalah Islam itu menjadi agama kamu.
Mungkin kita masih boleh menerima jika Saudara Kassim mengatakan konsep insan kamil tidak terdapat di dalam Al Quran walaupun ia masih boleh dibincangkan, tetapi adalah mustahil jika dia tidak pernah bertemu dengan ayat di atas yang menerangkan konsep agama kamil?Kalaulah agama Islam telah kamil maka
layakkah ia menerima perubahan dan pengubahsuaian?Alasan sunnatullah tidak boleh diterima kerana Al Quran adalah mukjizat dan mukjizat sememangnya bertentangan dengan sunnatullah.Perbuatan memasukkan undang-undang Al Quran ke dalam peraturan umum sunnatullah nampaknya adalah satu percubaan untuk membatalkan kemukjizatan Al Quran.
Sangat malang dan sungguh menyedihkan cara Kassim mempermain-mainkan hadis dan Al Quran.Mula-mula dia menolak hadis dengan cara kononnya hadis mesti diukur dengan neraca Al Quran.Tetapi ternyata kemudian Al Quran juga ditolak dengan alasan ‘dimensi sejarah’ dan ‘dimensi universal’ dan ‘sunnatullah’.
Saya rasa cukuplah sekadar ini dahulu.Harapan saya semoga saudara Kassim dan kuncu-kuncunya kembali kepada agama Islam yang sebenar.Kecacatan Kassim cuma dua sahaja iaitu dia kekurangan maklumat berkenaan ajaran Islam dan terpengaruh dengan karya-karya orientalis.Kecacatannya yang kedua ialah dia bersikap memekakkan telinga walaupun para ulama berjaya mematahkan hujjah para orientalis tersebut.Kalau dua kecacatan ini berjaya diatasi oleh Kassim insya Allah dia akan berjaya.
Sekian terimakasih.
No comments:
Post a Comment