Berhubung dengan tulisan Abu Syuaib(Majalah ‘i’ Mei 2006) yang bertajuk “Apakah Akidah Sebenar Al Imam Abu Al Hassan Al Asy’ari?” saya mengambil kesempatan di sini untuk menghuraikan kekeliruan yang beliau timbulkan.Beliau cuba meyakinkan para pembaca,seolah-olah pengikut-pengikut Asyairah semata-mata berpegang kepada konsep ‘takwil’ apabila berinteraksi dengan ayat-ayat sifat yang mengandungi unsur-unsur tasyabbuh.Sebenarnya mana-mana ulama Asyairah,baik di Asia Tenggara mahu pun di Asia Barat sentiasa mengemukakan dua pandangan semasa membahaskan ayat-ayat mutasyabihat iaitu pandangan salaf dan pandangan khalaf.Sebagai contoh,Assyeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al Fatani menulis di dalam kitabnya ‘Aqidatunnajin’ seperti berikut;
“Dan telah lalu sebut orang yang berpegang dengan segala zahir ayat mutasyabihat atau segala hadis mutasyabihat itu jadi kafir,maka sekarang hamba hendak menyebutkan jalan takwil demikian itu,zahir atas dua mazhab.Maka keduanya itu sebenarnya.Maka barang mana salah suatu daripada keduanya apabila kita taklid lepaslah kita daripada sesat dan suatu daripadanya mazhab ahlu salaf dan yang kedua mazhab khalaf.Kata Syeikh Ibrahim Al Laqqani di dalam nazamnya:
وكل نص أوهم التشبيها*اوله أو فوض ورم تنزيها
Ertinya:Tiap-tiap nas Al Quran atau hadis yang memberi waham ia akan tasybih Allah itu dengan yang bahru,takwil olehmu atau serahkannya olehmu akan pengetahuan itu kepada Allah dan kasad olehmu akan suci Allah Taala daripada menyerupai dengan segala yang baharu. (Sila rujuk Aqidatunnajin Maktabah Dar Al Maarif m.s 49)
Apa yang dinyatakan oleh Asyeikh Zainal Abidin Al Fatani itu, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Asyairah tidak mewajibkan para pengikutnya berpegang kepada mazhab khalaf yang menentukan takwil,sebaliknya sentiasa membentangkan dua pilihan kepada orang ramai samada mahu berpegang kepada mazhab khalaf atau pun mazhab salaf dan kedua-duanya diakui benar dan lepas daripada kesesatan.
Berpegang kepada Imam Al Syafii di dalam soal-soal ibadat dan muamalat tidak memestikan yang kita wajib berpegang juga kepada beliau di dalam soal-soal akidah.Ini ialah kerana,Imam Al Syafii bukanlah seperti Imam Al Asyari yang membahaskan ‘bab’ akidah dengan mendalam dan ditil.Tak kanlah dek kerana kita mengikuti mazhab syafii dalam ibadat dan muamalah,maka yang lain-lain pun kita mesti berpegang kepada beliau.Misalnya di negara kita kebanyakan membaca Al Quran qiraat Hafs.Adakah Imam Al Syafii membaca Al Quran dengan qiraat hafs?Tak ada siapa yang tahu apakah qiraat Imam Al Syafii yang sebenarnya!
Para ulama Asyairah meraikan kaedah takwil oleh ulama khalaf kerana dua sebab:-
i) Supaya orang jahil tidak terjerumus kepada akidah tajsim dan tasybih yang boleh membawa kepada ‘riddah’.
ii) Memelihara Al Quran daripada wujudnya pertentangan yang pada zahirnya kelihatan seolah-seolah bertentangan.
Dalam pada itu pun takwil yang dilakukan adalah mengikut usul-usul tafsir iaitu dengan mengambil kira ayat-ayat lain di dalam Al Quran,sunnah serta Bahasa Arab yang asli iaitu bahasa Al Quran itu diturunkan.Misalnya di dalam mentakwilkan perkataan ‘istiwa’ yang secara harfiahnya bererti ‘bersemayam’para ulama mengambil kira ayat yang menyatakan bahawa Allah itu tidak serupa dengan yang baharu.Mereka juga mengambil kira bahawa perkataan ‘istiwa’ tidak selalunya bermaksud ‘bersemayam’.Misalnya di dalam ayat 44 surah Hud,Allah menyatakan bahawa kapal Nabi Nuh beristawa di atas Bukit Judi.Di sini ‘istawa’ bermaksud ‘berlabuh’ bukan ‘bersemayam’.Mereka juga mengambil kira syair klasik Arab yang dituturkan oleh orang Arab pada zaman jahiliah yang berbunyi:
إستوى بشر على العراق بغير سيف ودم مهراق
Ertinya:Bisyir ber ‘istawa’ atas negeri Iraq tanpa menggunakan pedang dan menumpahkan darah.Di sini istawa bererti istawla(menguasai) kerana kalau setakat nak duduk di Negeri Iraq apa perlunya pedang dan menumpahkan darah?
Para sahabat juga bukan tidak mentakwilkan ayat-ayat sifat.Mereka sebenarnya mengakui bahawa ayat-ayat sifat itu mesti ditakwilkan.Hanya sanya mereka tidak menentukan apakah takwilnya itu.Inilah yang dinamakan ‘takwil ijmal’.Mereka reda supaya takwilnya itu diserahkan kepada Allah sahaja di samping mengiktikadkan ‘lafaz’ yang diturunkan oleh Allah itulah dianya akan tetapi ‘zahiruhu ghairu murad’.Sebab-sebab para salaf (sahabat, tabiin, tabi’ al tabiin) tidak menentukan takwilnya ialah kerana:-
i) Mengelakkan diri daripada ‘takalluf’(membebankan diri sendiri)dengan sesuatu yang tidak perlu kerana mereka mampu pada masa itu untuk beriman dengan lafaz yang diturunkan tanpa menyerupakan Allah dengan yang baharu.
ii) Pada zaman mereka keperluan kepada ‘takwil’ tidak begitu nyata,kerana fitnah belum begitu dahsyat dan belum ada atau masih sedikit orang yang berfahaman ‘tajsim’.
iii) Mereka tidak mahu membuka pintu takwil kerana takut disalah gunakan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab yang nanti akan membuka pintu takwil dengan seluas-luasnya.Tentang ini Al Imam Al Ghazali menjelaskan di dalam Ihya Ulum Al Din semasa mengomentar sikap Imam Ahmad terhadap ‘takwil’ dengan menyebutkan, “besar kemungkinan Ahmad bin Hanbal r.a mengetahui bahawa al istiwa bukan bererti ‘duduk’,dan nuzul bukan bererti turun,akan tetapi beliau tidak mentakwilkan kerana tidak mahu melanjutkan perbahasan di dalam bab ini dan meraikan maslahat orang ramai kerana sesungguhnya apabila terbuka pintu (takwil)nescaya merebaklah kerosakan dan terkeluarlah urusan(agama)dari landasannya dan melampaui akan had yang diperlukan kerana sesuatu had yang melampaui keperluan nescaya tidak akan dapat dikawal…..”(Ihya Ulum Al Din Dar Al Kutub Al Ilmiah sub kitab Kawaid Al Aqaid m,s 100 jilid 1).
Kata ‘tangan’ di dalam Bahasa Arab sentiasa boleh ditafsirkan berdasarkan dua pengertian iaitu erti majazi dan hakiki.Asal(erti hakiki) dari kata tangan yang makruf di kalangan orang Arab tanpa kecuali baik oleh golongan orang awam mahupun sasterawan bererti anggota yang terdiri dari daging, kulit,tulang,sendi dari siku hingga hujung kuku.Inilah makna yang hakiki dari kata tangan atau ‘yadun’ mengikut Bahasa Arab.Oleh itu kata ‘tangan’ apabila dimudhafkan kepada Allah wajib ditakwilkan samada dengan ijmali atau pun tafsili.Oleh itu apabila para ulama mengatakan tangan yang layak bagi Allah,bermaksud tangan yang mesti ditakwilkan ertinya kepada yang layak dan menasabah dengan ketinggian Zat Allah.Itulah erti dari kata-kata ulama apabila mereka menyebutkan tangan yang layak bagi Allah.Tetapi pengikut Wahhabi memahamkan tangan(menurut ertinya yang hakiki tanpa takwil)lalu kemudian difahamkan mesti dengan yang layak dengan Allah.Alangkah salahnya fahaman ini!
Golongan Wahhabi sering menisbatkan diri mereka sebagai pengikut salaf.Tetapi apa yang berlaku kata-kata para salafussoleh sering menjadi mangsa kesalahfahaman mereka.Misalnya kata-kata Imam Malik yang berbunyi:
الإستواء معلوم والكيفية مجهول والإيمان به واجب والسوءال عنه بدعة
Ertinya:Duduk bersila itu telah diketahui tapi caranya tidak diketahui beriman dengannya wajib dan bertanya-tanya tentangnya itu bid’ah.
Golongan Wahhabi memahamkan perkataan di atas seperti berikut:
“ duduk bersila yang Allah sifatkan dirinya di dalam Al Quran itu telah diketahui tetapi kaifiatnya tidak diketahui, beriman dengannya iaitu Allah itu duduk bersila adalah wajib dan bertanya-tanya tentangnya adalah bid’ah.”
Fahaman Wahhabi tersebut adalah salah berdasarkan terdapatnya unsur ‘tanaqudh’(bertentangan antara pangkal dengan hujung) iaitu kalaulah duduk bersila itu telah diketahui bagaimana mungkin kaifiatnya tidak diketahui?Tidak mungkin Imam Malik akan mengucapkan ayat yang mengandungi tanaqudh seperti di atas.Maksud sebenar perkataan Imam Malik tersebut ialah,
“Duduk bersila” seperti yang difahami oleh orang Arab itu telah diketahui, tetapi maksudnya yang berhubung dengan Allah itu tidak diketahui.Beriman dengannya- iaitu beriman bahawa itulah lafaz yang diturunkan Allah iaitu lafaz “duduk bersila”, adalah wajib dan bertanya-tanya tentang ertinya adalah bid’ah.
Dengan sebab itu, Imam Malik benar-benar mengikuti aliran salaf yang tidak mengetahui erti “duduk bersila” bagi Allah dan menyerahkan ertinya yang sebenar kepada Allah.Tetapi golongan Wahhabi seolah-olah mengetahui ertinya dengan mengertikan Allah itu duduk bersila cuma duduk bersila Allah itu tidak serupa dengan duduk bersila makhluk.Ternyata fahaman Wahhabi itu salah dan bukan ini yang dimaksudkan oleh Imam Malik.
Golongan Wahhabi sering berhujjah kononnya Imam Asyari telah melalui beberapa peringkat akidah.Mereka membinakan hujjah mereka berdasarkan kepada kitab-kitab Imam Asyari seperti Maqalat Al Islamiyin,Al Ibanah dan lain-lain yang mana terdapat method yang berbeza-beza di dalam kaedah penulisannya.Hujjah tersebut adalah lemah atau tersangat lemah berdasarkan kepada faktor-faktor berikut:-
i) Ulama Wahhabi gagal membuktikan secara konsisten yang manakah kitab-kitab beliau(Imam Asyari) yang awal dan yang akhir.Mengikut ulama Wahhabi kitab Al Ibanah adalah karangan beliau yang terakhir.Akan tetapi menurut Dr.Abu Zahrah,Imam Asyari telah merujuk daripada pendapatnya di dalam Al Ibanah dengan menulis kitab Al Luma’ di mana beliau mentakwilkan semula sifat-sifat khabariah.
ii) Imam Asyari tidak pernah menuliskan secara jelas perpindahan mazhabnya jika benar beliau mengalami beberapa peringkat akidah.Satu-satunya perpindahan beliau yang beliau ucapkan sendiri yang sampai kepada kita adalah perpindahan beliau dari Muktazilah kepada Sunnah yang beliau isytiharkan di Masjid Basrah.Yang dikatakan Imam Asyari mengalami perpindahan beberapa peringkat akidah itu hanyalah kefahaman para pengkaji setelah mengkaji tulisan-tulisan beliau dan bukannya perkataan Imam Asyari secara sarih.
iii) Andaikan kita takdirkan bahawa memang benarlah bahawa kitab Al Ibanah itu merupakan kitab beliau yang terakhir,namun itu belum cukup untuk membuktikan bahawa beliau menafikan ‘takwil’kerana apa yang beliau tuliskan di dalam Al Ibanah kemungkinan berupa rumusan akidah Ahlu Sunnah yang mana beliau seberapa boleh mengelakkan teknik huraian yang berjela-jela dan berbelit dan berpandukan ‘method’ salaf.
iv) Beliau telah mengasaskan method Ahlu Sunnah di dalam fikah akidah dan telah melahirkan ramai ulama yang berwibawa selepas beliau seperti Al Baqilani,Fakhr Al Razi,Al Juwaini,Al Ghazali dan lain-lain.Jika benarlah beliau berakidah seperti sangkaan Wahhabi,maka adalah mustahil perkara ini tidak diketahui oleh ulama-ulama tersebut.Sehingga Imam Al Nawawi sendiri yang pakar di dalam hadis dan ilmu riwayat yang mana keilmuannya telah diakui telah mencapai taraf mujtahid mutlak turut mentakwilkan hadis-hadis sifat di dalam Syarah Muslimnya.Sila rujuk Syarah Muslim karangan Imam Nawawi terbitan Dar Al Ihya Turath Al Arabi di tempat-tempat berikut:-
-Jilid 2 juzuk 3 m.s 43,jilid 9 juzuk 17 m.s 3,jilid 9 juzuk 17 m.s 130 dan jilid 9 juzuk 17 m.s 183.
Apakah Imam Al Nawawi tidak mengetahui bahawa mentakwilkan ayat-ayat dan hadis-hadis sifat itu salah dan boleh membawa kepada ta’thil?Apakah Imam Al Nawawi tidak mengetahui bahawa Imam Asyari telah merujuk dari pendapatnya tentang takwil?Apakah Imam Al Nawawi tidak mengetahui manhaj Imam Al Syafii tentang perkara ini?Apakah Imam Al Nawawi jahil tentang manhaj Ahlu Sunnah seperti yang dicanangkan dengan hebohnya oleh pengikut-pengikut Wahhabi?Kami berlindung dengan Allah daripada menyangka sedemikian terhadap Imam Al Nawawi rahimullah!
Seperkara lagi ramai di antara cerdik pandai Wahhabi menyangkakan,berpegang kepada mazhab sunnah bererti berpegang kepada Al Quran dan Al Hadis tanpa membezakan antara seorang yang mujtahid dengan orang yang awam.Sebenarnya berpegang kepada sunnah pada hak orang yang awam,bererti berpegang kepada ‘ulama’ ahli sunnah.Maka di dalam hal ini setiap bidang daripada agama ada ahli-ahlinya yang tertentu di kalangan ulama sunnah seperti mana berikut:-
i)Di dalam iktikad berpegang kepada salah satu samada Asyairah atau Maturidiah.
ii)Di dalam qiraat berpegang kepada salah satu daripada qiraat mutawattir yang tujuh.
iii)Di dalam hukum-hakam berpegang kepada salah satu daripada mazhab yang empat.
iv)Di dalam tasauf berpegang kepada Al Junaid,Al Ghazali dan seumpamanya.
Setiap bidang ada ulamanya yang tertentu dan kesemuanya adalah ahli sunnah di dalam bidang masing-masing.Tentulah tidak menasabah jika setiap orang Islam berpegang hanya kepada seorang ulama di dalam semua bidang.Umpamanya di dalam iktikad berpegang kepada Imam Syafii.Di dalam qiraat berpegang kepada qiraat Imam Syafii.Di dalam hukum-hakam berpegang kepada Syafii.Di dalam tasauf pun berpegang kepada tasauf Syafii?
Ulama Wahhabi berhujjah kononnya mempelajari tauhid ala Asyairah iaitu tauhid sifat dua puluh adalah bid’ah kerana tidak pernah diajarkan oleh nabi.Ini adalah hujjah yang batil kerana sifat dua puluh adalah diambil daripada Al Quran dan Al Hadis.Apa yang baru hanyalah ‘method’nya sahaja.Hal ini tidak menjadi masalah kerana Rasulullah saw semasa hayat baginda tidak pernah men “ ta’yin ”kan apakah method yang digunakan untuk mengajarkan ilmu-ilmu Al Quran dan Al Hadis.Yang penting di sini bagaimanakah ilmu-ilmu Al Quran dan Al Hadis itu dapat disampaikan dengan cara yang berkesan.Sebagai contoh,semasa hayat nabi tidak pernah nabi mengajarkan kepada para sahabat misalnya, “rukun sembahyang itu tiga belas perkara.Yang pertama niat….” dan seterusnya.Tetapi para ulama yang tajam mata hati dan tajam akal fikiran telah mengkaji dan meniliti ajaran yang disampaikan oleh baginda di dalam Al Quran dan dengan mengambil kira ratusan ribu hadis lalu disusun mengikut method yang memudahkan orang awam mempelajari ‘din’ mereka sehampir-hampir tepat yang mungkin menurut kehendak Allah dan rasulNya.Adakah method yang digunakan oleh para ulama tersebut salah?Tidak sama sekali.
Begitu juga dalam perkara akidah.Dalam menyusun kaedah pembelajaran akidah para ulama mengkaji apakah ‘ghayah’(matlamat) dari pembelajaran akidah yang tersebut.Tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mencapai makrifah tentang Allah.Kemudian dibahaskan sejauh mana makrifah yang diterima dan lulus di sisi Allah.?Iaitu apabila seseorang dapat membezakan antara muhaddath dengan Qadim.Setelah ulama membuat penelitian, pemerhatian dan pengkajian terhadap semua sifat-sifat Allah di dalam Al Quran dan Al Hadis,didapati di dalam banyak-banyak sifat tersebut ada dua puluh sifat yang sekurang-kurangnya wajib diketahui oleh orang awam satu persatu kerana memadailah dengan dua puluh sifat tersebut seseorang itu dapat membezakan antara muhaddath dan Qadim.Tegasnya dapat membezakan antara Al Ilah Al Haq(Allah) dengan ilah-ilah yang batil.Bukanlah bererti dengan mempelajari sifat dua puluh itu kita mempercayai Allah hanya mempunyai dua puluh sifat sahaja.Bukan begitu!Ulama-ulama Wahhabiah sewaktu membid’ahkan method sifat dua puluh seolah-olah terlupa bahawa mereka berpegang kepada kaedah tauhid Uluhiah,Rububiah,asma’ wassifat sedangkan kaedah ini tidak pernah diajarkan oleh para salafussoleh.Adakah Imam Syafii menyarankan supaya berpegang kepada tauhid Uluhiah dan Rububiah?
Kita tidak dapat berpegang dengan huraian akidah yang dinyatakan oleh Imam Al Syafii,kerana beliau di dalam menyebutkan soal-soal akidah hanya menerangkan manhaj ahlu secara ijmal dan tidak menditel.Oleh itu apa yang dinyatakan oleh Imam AL Syafii itu terdapat beberapa kelemahan yang ketara.Di antaranya ialah:
i) Tidak ada dhabit yang jelas.
ii) Tidak dapat menghilangkan ‘isykal’
Walau bagaimanapun ,manhaj yang telah ditetapkannya itu,menjadi panduan kepada ulama-ulama yang datang sesudah beliau seperti Asyari dan lain-lain untuk menyusun method pembelajaran akidah dengan dhabit yang tertentu dan menghilangkan isykal sehingga dapat menjadi sesuatu yang boleh dipegangi.Adalah menjadi kebiasaan bagi aliran ahlu sunnah ala Asyairah membahagikan perbahasan ilmu tauhid kepada dua iaitu beriman secara ijmali dan secara tafsili.Beriman secara ijmal ertinya, “wajib seseorang itu beriman bahawa Allah itu bersifat dengan segala sifat kamalat(kesempurnaan yang tidak terhingga banyaknya dan Maha Suci Ia dari sekelian sifat kekurangan.” Akan tetapi yang wajib diketahui satu persatu hanyalah dua puluh sifat kerana memadailah dengan dua puluh sifat ini kita dapat mengesahkan Allah itu Tuhan yang layak disembah.Oleh itu,pembelajaran akidah melalui sifat dua puluh tidak terkeluar daripada manhaj yang telah ditetapkan oleh Imam Al Syafii.Begitu juga dalam bab ‘takwil’ dan hadis-hadis sifat.Sentiasa dikemukakan dua kaedah iaitu takwil salaf dan takwil khalaf.Takwil salaf adalah takwil ijmal atau takwil tafwidh.Takwil khalaf adalah takwil tafsil.
Berkenaan dengan Allah itu tidak bertempat,yang demikian adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Al Imam Ahmad daripada Abu Hurairah yang bermaksud, “…..Demi Tuhan yang diri Muhammad di tanganNya,jika kalian menghulurkan seseorang menggunakan tali sehingga ke lapisan bumi yang ke tujuh nescaya sampai kepada Allah….” Kata Ibnu Al Arabi Al Maliki,maksud hadis ini ialah sama sahaja bagi Allah segala arah samada di atas atau di bawah kerana tidak berhubung ZatNya itu dengan alam samada di atas atau di bawah.Kata Al Baihaqi di dalam Al Asmak m.s 507,riwayat di atas adalah masyhur di kalangan manusia(ulama)….dan di akhir hadis tersebut terdapat isyarat(petunjuk)menafikan tempat bagi Allah Taala dan sesungguhnya seseorang hamba itu walau di mana dia berada adalah sama sahaja di sisi Allah samada jauh atau dekat….(Al Bidayah Wa Al Nihayah- Dar Al Ihya AL Turath Al Arabi m.s 27 jilid 1-Lihat nota kaki).
Dengan ini konsep bahawa Allah itu tidak bertempat adalah sabit dengan mafhum nas-nas hadis.Ini disokong pula oleh keterangan akal yang mengisyaratkan tempat adalah baharu dan Allah Taala telah wujud sebelum wujudnya tempat.Oleh itu setiap ayat atau hadis yang menunjukkan tempat bagi Allah wajib ditakwilkan samada dengan takwil salaf atau takwil khalaf.Ayat-ayat seperti,
ليس كمثله شئ
Ertinya:Tiada sesuatu pun yang seumpamaNya(Allah)
Dan ayat,
ولم يكن له كفوا أحد
Ertinya:Tiada sesuatu pun yang setara denganNya(Allah)
Dan ayat,
إن الله لغني عن العا لمين
Ertinya:Sesungguhnya Allah itu Maha Kaya(tidak berhajat) daripada sekelian alam
…..dijadikan qarinah oleh para ulama didalam mentakwilkan sifat-sifat khabariah yang zahirnya adalah mustahil jika ditetapkan bagi Allah.Di dalam hal ini ‘tempat’ adalah sebahagian daripada ‘alam’, oleh itu Allah tidak berhajat kepada tempat dan tidak layak bagi Allah mengambil tempat.Oleh kerana para ulama Asyairah mempunyai alasan yang kukuh daripada ayat-ayat Al Quran yang muhkamat yang dijadikan qarinah di dalam mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat,maka perbuatan mereka tidak boleh dinamakan ta’thil.Kita mesti faham perbezaan di antara takwil dan ta’thil.Ta’thil bererti membuang sifat-sifat Allah.Sementara takwil bererti mengembalikan makna ayat-ayat mutasyabihat kepada nas-nas yang muhkamat apabila wujudnya qarinah.Kaum mu’athilah yang sebenarnya ialah kaum muktazilah yang mentakwilkan sifat kalam dan menafikan enam sifat maani yang lain.Mereka di ‘cop’ mu’athilah kerana mentakwilkan sifat kalam dan menafikan enam sifat maani yang lain tanpa berdasarkan qarinah yang sahih.Tetapi golongan Wahhabi telah menggunakan istilah ‘muathilah’ dengan cara yang salah dan menghalakannya kepada golongan Asyairah yang mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat.
Al Syeikh Abu Bakar Al Jazairi,di dalam bukunya Manhaj Muslim berusaha membela fahaman Wahhabi dengan mengatakan bahawa perkataan tangan , istiwa , wajah , dan lain-lain yang dinisbahkan kepada Allah tidak perlu ditakwilkan dengan alasan semuanya itu hanya sama pada nama sahaja tetapi tidak sama pada hakikat seperti ‘mata Allah’ dan ‘mata makhluk’ sama pada nama mata tetapi hakikat mata Allah itu tidak sama dengan hakikat mata manusia.Nah lihatlah bagaimana beliau telah terkeliru antara hakiki dan majazi,sehingga beliau tidak dapat menempatkan kedua-dua istilah itu dengan betul.Sesungguhnya kudrat, iradat, ilmu, hayat, sama’, basar dan kalam adalah hakiki bagi Allah dan majazi bagi makhluk.Sebab itu apabila di katakan makhluk itu berkuasa, maka yang demikian adalah secara majazi sahaja kerana yang berkuasa pada hakikatnya hanya Allah.Oleh itu sah jika dikatakan kudrat Allah dan kudrat makhluk itu sama pada nama tetapi tidak sama pada hakikat.Sedangkan lafaz tangan dan seumpamanya, adalah hakiki bagi makhluk tetapi majazi bagi Allah.Maka tidak sah jika dikatakan mata Allah dan mata makhluk misalnya,dikatakan sama pada nama dan tidak sama pada hakikat kerana pada hakikatnya Allah Taala memang tidak punya mata hakiki seperti yang ada pada makhluk.
Sebagai kesimpulannya kita wajib berpegang kepada Imam Abu Hasan Al Asy'ari di dalam akidah kerana hanya dengan akidah Asy'ariah sahajalah kita terselamat dari sebarang penyelewengan dan kekeruhan.
betul ke syeikh abu bakar al-jazairi wahhabi?boloeh diberikan pencerahan?
ReplyDeleteBerdasarkan kepada kitabnya manhaj Muslim jelas menunjukkan Syeikh seorang yang berfahaman Wahhabi.
ReplyDeleteBeliau menolak takwil berhubung nas-nas mutasyabbihat dengan menyebutkan di dalam kitabnya:
"Orang Islam itu beriman dengan nama-nama Allah yang elok dan sifat-sifatNya yang maha tinggi dan tidak menyengutukannya dengan sesuatu dan tidak mentakwilkannya sehingga menjadikan maknanya hampa dan tidak menyerupakannya dengan sifat-sifat baharu sehingga membawa kepada takyif dan tamsil yang demikian itu semuanya mustahil..."
(Manhaj Al Muslim,Syaikh Abu Bakar Al Jazairi,Darul Fikri,halaman 15)
This comment has been removed by the author.
ReplyDeletejazakallahu khairan atas penjelasan.
ReplyDelete